Suhaila Shahrul Annuar


KEMENTERIAN Kesihatan tidak akan mengeluarkan sebarang kompaun dalam tempoh enam bulan pertama penguatkuasaan larangan merokok di tempat makan, sebaliknya hanya notis amaran akan dikeluarkan kepada pesalah.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, jangka masa enam bulan pertama ini adalah tempoh penguatkuasaan pendidikan yang mana pesalah hanya akan diberikan notis amaran atas kesalahan mereka.

“Larangan merokok di tempat makan mula berkuatkuasa semalam (1 Januari) di bawah Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018.

“Dalam tempoh enam bulan ini, mereka yang masih merokok di tempat larangan iaitu tempat makan akan diberikan amaran secara bertulis.

“Sebagai permulaan kepada pindaan pewartaan ini, semua negeri telah melaksanakan penguatkuasaan pendidikan seperti melaksanakan aktiviti pemakluman mengenai tempat larangan merokok melalui edaran risalah, makluman secara individu serta di media massa dan media sosial.

“Aktiviti penguatkuasaan pendidikan juga merangkumi peringatan kepada pemilik premis mengenai tanggungjawab mereka untuk meletakkan tanda larangan merokok dan memastikan tiada orang merokok sebagaimana Peraturan 12, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Bermula 1 Januari 2019, peraturan larangan merokok dikuatkuasakan di semua restoran bertutup, berhawa dingin, atau restoran dan warung berkonsep terbuka.

Dengan penguatkuasaan peraturan itu, perokok ditahan di kawasan larangan akan didenda RM10,000 atau boleh dipenjara tidak melebihi dua tahun.

Beliau berkata, aktiviti penguatkuasaan pendidikan pada hari pertama pewartaan semalam membabitkan seramai 611 anggota penguatkuasa Kementerian Kesihatan.

“Sebanyak 2,786 tempat makan termasuk yang beroperasi 24 jam dilawati dan sebanyak 1,453 amaran bertulis dikeluarkan.

“Kementerian Kesihatan akan meneruskan penguatkuasaan pendidikan secara menyeluruh untuk memastikan masyarakat benar-benar maklum mengenai larangan ini bagi menjamin perlindungan daripada bahaya asap rokok,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, penguatkuasa Kementerian Kesihatan mempunyai kad kuasa dan pakaian seragam khas masing-masing dan mereka berhak mengeluarkan notis amaran kepada sesiapa yang melakukan kesalahan merokok di tempat makan.

“Mereka akan memakai ‘vest’ berwarna hitam dengan tulisan Kementerian Kesihatan di belakangnya.

“Kita kuatkuasakan peraturan larangan merokok di tempat makan bukan untuk menyusahkan sesiapa, tetapi bagi melahirkan masyarakat yang bertamadun. Anda boleh merokok, tetapi biarlah di tempat yang sepatutnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 January 2019 @ 7:16 PM
Seorang perokok menggunakan pita pengukur sebelum menyalakan rokok di kawasan lebih tiga meter dari restoran. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din