“BIASANYA pada musim tengkujuh begini, kami (nelayan) memang tak ke laut, apatah lagi dengan keadaan cuaca buruk seperti ribut yang dilaporkan melanda.

“Apa kami boleh buat adalah termenung melihat ombak,” kata nelayan, Tuan Muda Tuan Hassan, 67, dari Chendering, Kuala Terengganu.

Dia yang sudah 50 tahun melakukan kerja itu berkata, memang menjadi lumrah kepada golongan nelayan terutama di Pantai Timur untuk berehat pada musim tengkujuh berikutan keadaan cuaca tidak menentu dan ombak besar.

“Kebiasaannya dalam seminggu hanya dua ke tiga kali saja kami dapat ke laut untuk mencari rezeki, itu pun sekitar lima ke enam jam sahaja sebelum pulang ke darat.

“Kali terakhir kebanyakan kami ke laut adalah pada Jumaat lalu, jadi ribut tropika Pabuk yang dilaporkan ini bukanlah faktor utama, namun sedikit sebanyak memberi ‘masa rehat’ lebih lama kepada nelayan,” katanya ketika ditemui di Jeti Chendering, hari ini.

Nelayan, Alwi Jusoh, 56, berkata mereka sememangnya sudah sedia maklum berhubung ribut yang melanda negeri di Pantai Timur, namun dia sudah hampir seminggu tidak turun ke laut kerana keadaan cuaca tidak mengizinkan.

“Mengikut jangkaan kami golongan nelayan terutama yang mengemudi bot kecil mungkin terpaksa berehat dalam kadar masa lebih lama sehingga keadaan laut kembali tenang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam Abd Rahman, berkata sehingga kini pihaknya masih belum mendapat laporan berhubung kejadian tidak diingini berlaku di negeri ini akibat ribut yang melanda.

Katanya, menerusi tinjauannya di beberapa lokasi sekitar Marang dan Kuala Terengganu mendapati angin kuat melanda di kawasan pantai dengan kehadiran ombak setinggi dua meter.

“Berdasarkan keadaan angin dan ombak agak kuat begini, ia sangat berbahaya kepada bot kecil dan kami menasihatkan supaya sebarang aktiviti di pantai dan di laut ditangguhkan untuk sementara bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

“Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu akan memantau perkembangan cuaca terutama di kawasan pantai dari semasa ke semasa supaya dapat memberi peringatan kepada penduduk jika berlaku sebarang ombak besar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 January 2019 @ 10:46 PM
ALWI tidak turun ke laut untuk menangkap ikan berikutan angin kencang dan laut bergelora di Pelabuhan Perikanan Chendering, Kuala Terengganu, hari ini. FOTO Ghazali Kori.