KONTRAKTOR berusia 35 tahun (tengah) diiringi anggota polis keluar dari mahkamah selepas direman kerana dipercayai memukul isteri dan bapa mentuanya di Mahkamah Majistret Melaka, di Ayer Keroh. FOTO Khairunisah Lokman
KONTRAKTOR berusia 35 tahun (tengah) diiringi anggota polis keluar dari mahkamah selepas direman kerana dipercayai memukul isteri dan bapa mentuanya di Mahkamah Majistret Melaka, di Ayer Keroh. FOTO Khairunisah Lokman
Nurul Fhatihah Zakinan


KONTRAKTOR direman selepas dipercayai memukul isteri dan bapa mentua di rumahnya di Ayer Keroh Heights, Ayer Keroh, Isnin lalu.

Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Melaka, Dorismah Mohd Idris mengeluarkan perintah reman terhadap lelaki berusia 35 tahun itu selama dua hari bermula hari ini.

Suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan dan Seksyen 18(A) Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

Terdahulu, suspek keluar dari bilik reman dengan menunjukkan isyarat tangan ‘peace’ ketika diiringi pegawai polis untuk di bawa ke lokap.

Suspek ditahan selepas hadir ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, semalam bagi memberikan keterangan berhubung laporan dibuat mangsa yang juga bapa mentuanya.

Isnin lalu, suspek dipercayai memukul isterinya berusia 35 tahun menggunakan tangan dan dalam keadaan di bawah pengaruh alkohol selepas berlaku pertengkaran antara pasangan itu di bilik tidur dan ruang tamu rumah, pada 1.30 pagi.

Bapa mentua suspek yang juga pesara polis berusia 61 tahun cuba meleraikan pertengkaran itu, bagaimanapun turut dipukul di bahagian belakang bahu kanan, selain terseliuh ibu jari tangan kiri dan ibu jari kaki kanan.

Kejadian berlaku dipercayai berpunca kerana suspek tidak berpuas hati apabila isterinya pulang ke rumah dihantar oleh bapa mentuanya.

Isteri dan bapa mentua suspek kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Melaka dan membuat laporan polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad ketika dihubungi sebentar tadi mengesahkan perintah tahanan reman itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 January 2019 @ 2:07 PM