SUSPEK menunjukkan barangan curi di tanah perkuburan itu. FOTO Ihsan Polis
Ekhwan Haque Fazlul Haque


DUA lelaki menyembunyikan barangan curi di tanah perkuburan Islam di Jalan Pandaruan, di Limbang.

Taktik mereka terbongkar selepas suspek berusia 20 dan 40 tahun itu ditahan polis di belakang bangunan di Jalan Sungai Kudong, pada 30 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Limbang, Superintendan Mohd Bukhori Saffai berkata, selepas ditahan, suspek membawa polis ke tanah perkuburan berkenaan.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut menemukan pelbagai barangan dipercayai dicuri suspek.

Antaranya tabung, pelbagai barangan elektronik seperti pemain cakera video digital (DVD), dekoder televisyen satelit, televisyen dan kabel elektronik.

“Suspek mengakui menyembunyikan barangan itu di tanah perkuburan terbabit, sebelum ia dijual kepada pasaran gelap dengan harga yang lebih rendah.

“Suspek turut membuang tabung wang yang dicuri selain membakar pelbagai barangan bagi melupuskan bukti,” katanya kepada NSTP.

Beliau berkata, polis percaya, dua suspek dipercayai terbabit dengan pelbagai kes curi di sekitar Limbang, sejak beberapa bulan lalu.

Katanya, polis yakin dengan penahanan suspek, beberapa kes curi dan pecah rumah di sekitar daerah itu berjaya diselesaikan.

“Suspek kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 January 2019 @ 2:22 PM