FOTO hiasan
FOTO hiasan
Syanty Octavia Amry


KEMENTERIAN Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) melalui Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) menegaskan berita berkaitan asteroid bakal menghentam bumi pada 1 Februari ini sebagai tidak benar.

ANGKASA dalam satu kenyataan berkata, asteroid yang dimaksudkan itu diberi gelaran 2002NT7 dijumpai oleh NASA pada 2002.

“NASA sudah membuat pengiraan berdasarkan teori astronomi bahawa asteroid terbabit akan menghentam bumi pada 1 Februari ini dengan kebarangkalian kurang daripada satu peratus (%).

“Bagaimanapun, dengan pemantauan dan pengiraan semula, kebarangkalian asteroid itu menghentam bumi adalah amat kecil dan hampir mustahil (berlaku),” katanya.

Hasil semakan dan penelitian, ANGKASA juga mengesahkan bahawa asteroid berkenaan tidak akan menghentam bumi seperti yang dilaporkan.

“Oleh itu, orang ramai tidak perlu gusar atau bimbang berkaitan perkara ini. Selain itu, orang ramai diingatkan supaya tidak terpengaruh dengan berita yang tular dan lebih berhati-hati dalam berkongsi maklumat,” katanya.

Terdahulu, ANGKASA menerima pertanyaan dan reaksi orang ramai terhadap laporan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 January 2019 @ 3:34 PM