BUNGKUSAN laksa dibeli untuk majlis tahlil berselerak di atas jalan berhampiran motosikal selepas Rosna meninggal dunia akibat kemalangan dengan lori di Jalan Sungai Tiang berhampiran Kampung Lahar Buaya, Pendang, hari ini. FOTO ihsan polis.
Zuliaty Zulkiffli
cnews@nstp.com.my


“ARWAH dalam perjalanan pulang selepas membeli laksa untuk majlis tahlil arwah bapanya petang tadi, namun tidak sangka dia terbabit dalam kemalangan,” kata ahli keluarga Rosna Hassan, 60.

Dalam kejadian 11 pagi hari ini, Rosna yang menunggang motosikal maut akibat kemalangan ketika dalam perjalanan pulang dari Pendang ke rumahnya di Kampung Charuk Kudong.

Wanita itu dikatakan ke pekan untuk membeli laksa sebelum motosikal ditungganginya bertembung lori di Jalan Sungai Tiang menyebabkan dia parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Anak saudara mangsa yang enggan dikenali berkata, arwah ayah Rosna, Hassan Ahmad, 88, meninggal dunia minggu lalu, dan mereka merancang mengadakan majlis tahlil selepas solat Asar hari ini.

“Namun, kami tidak sangka majlis tahlil untuk datuk saudara (Hassan) bertukar menjadi tahlil untuk ibu saudara (Rosna) kami pula.

“Keluarga kami bagaimanapun reda dengan apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, siasatan awal mendapati lori dipandu lelaki berusia 58 tahun itu dari arah Sungai Tiang menuju ke Pendang.

Beliau berkata, ketika sampai di lokasi, lori terbabit dikatakan bertembung dengan motosikal ditunggang mangsa.

“Akibat dari kemalangan itu, lori terbabit dikatakan terbabas ke bahu jalan sebelah kanan dan masuk ke dalam sawah, manakala penunggang motosikal meninggal dunia akibat cedera parah.

“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik HSB di Alor Setar untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya,” katanya ketika dihubungi.

Arriz Sham berkata, pemandu lori yang berasal dari Mukim Air Putih, sudah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 January 2019 @ 9:27 PM