FOTO Hiasan
Shamsul Kamal Amarudin


KEMENTERIAN Kesihatan sedang meneliti cadangan untuk mengurangkan kadar nikotin dalam rokok sebagai usaha mengurangkan ketagihan dalam kalangan perokok meskipun menyedari ia mendapat tentangan daripada industri berkaitan.

Timbalan Menterinya, Dr Lee Boon Chye berkata, cadangan itu membabitkan usaha menurunkan kadar nikotin dalam rokok yang ada sekarang kepada tahap lebih rendah iaitu antara 0.3 hingga 0.5 miligram (mg) bagi setiap gram tembakau yang digunakan dalam rokok.

"Cadangan ini adalah perkara yang kita sedang teliti, kita sedang kaji dan masih perlu ada rundingan dan perbincangan dengan industri rokok," katanya ketika ditemui NSTP selepas melancarkan bilik gerakan PKR Pahang bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanah Rata untuk Pilihan Raya Kecil Parlimen Cameron Highlands, di Tanah Rata di Cameron Highlands, malam tadi.

Beliau diminta mengulas laporan BH hari ini yang menyarankan kerajaan mengurangkan kadar nikotin dalam rokok, yang menjadi punca ketagihan dalam kalangan perokok.

Pakar perunding psikiatri dan berhenti merokok Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Amer Siddiq Amer Nordin dilaporkan berkata, ia perlu dilaksanakan seiring dengan pewartaan kawasan larangan merokok, bagi mengawal tabiat merokok dalam kalangan rakyat Malaysia, selain mengurangkan jumlah perokok pada masa depan.

Sejak 1 Jun 2015, kandungan nikotin dalam rokok di Malaysia ditetapkan pada kadar maksimum 1 mg, selepas diturunkan daripada 1.5 mg.

Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad sebelum ini dilaporkan berkata, tiada keperluan menyemak semula kadar pelepasan nikotin dan tar seperti digariskan dalam Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2017.

Dr Boon Chye berkata, pihaknya tidak menetapkan tempoh masa untuk mengkaji cadangan mengurangkan kadar nikotin itu tetapi jika berjaya dilaksanakan, ia adalah satu kejayaan untuk mengurangkan ketagihan dalam kalangan perokok.

Beliau berkata, secara dasarnya memang ada rintangan untuk melaksanakan cadangan itu kerana industri tidak bersetuju terutama atas alasan perniagaan.

"Misalnya, jika kadar nikotin (dalam tembakau) (ditetapkan lebih rendah) sampai pada kadar sifar peratus dalam tembakau, maka ia sudah tidak jadi rokok lagilah.

"Jika kurangkan kandungan nikotin, rasanya (dalam rokok) sudah berlainan, untuk kementerian saya rasa jika berjaya lakukan ini (mengurangkan kadar nikotin), ia adalah perkara yang baik kerana ini boleh mengurangkan ketagihan di kalangan perokok," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 January 2019 @ 8:52 AM