BERNAMA

KEPUTUSAN menamatkan perkhidmatan 25 imam masjid di Perlis dan menukar 10 lagi ke kariah lain pada Khamis tidak membabitkan kerajaan pusat kerana ia tertakluk di bawah bidang kuasa kerajaan negeri itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, buat masa ini, kerajaan pusat tidak akan campur tangan dan menghormati keputusan yang diambil.

Pada Khamis, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPS) dilaporkan menamatkan perkhidmatan 25 imam masjid berkuat kuasa 1 Januari.

Keputusan itu dibuat melalui mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPS) pada 6 Disember lalu dan dimaklumkan melalui surat bertarikh 31 Disember tahun lalu.

“Saya percaya dengan kebijaksanaan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail untuk menyelesaikan isu berkenaan memandangkan segala prosedur penyambungan kontrak jawatankuasa kariah masjid dan lantikan adalah di bawah kelulusan MAIPS,” kata Mujahid kepada Bernama News Channel selepas menjadi tetamu dalam rancangan ‘Ruang Bicara’ terbitan stesen itu, di Kuala Lumpur, malam semalam.

Sementara itu, mengulas mengenai artikel yang ditulis Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Muzaffar Syah Mallow yang menyarankan agar perokok tidak diberikan zakat, Mujahid berkata pemberian zakat tidak seharusnya dikaitkan dengan perokok, biarpun berdasarkan fatwa oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan, rokok adalah haram kerana membawa kemudaratan.

Bagaimanapun katanya, pengharaman tersebut tidak diwartakan dalam undang-undang di negara ini.

Justeru katanya, untuk mengaitkan pemberian zakat kepada mana-mana lapan golongan yang layak, yang juga termasuk kalangan perokok, adalah tidak wajar sama sekali.

Berita berkaitan

[UPDATE] Dipecat kerana masalah disiplin, faktor usia

'Surat lain yang sampai...'

[UPDATE] Mufti jawab dalam kuliah malam ini...

'Hanya istana boleh lakukan' - Mufti Perlis

Perlis pecat 25 imam

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 January 2019 @ 10:44 AM