ANTARA perokok yang dilihat masih menghisap rokok di kawasan restoran. FOTO NSTP
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


SERAMAI 70 perokok di Negeri Sembilan diberi notis amaran kerana merokok di restoran dan kedai makan sejak pelaksanaan larangan berkuat kuasa Selasa lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan, berkata, perokok terbabit gagal mengubah tabiat lama apabila masih merokok di kawasan larangan.

Katanya, perokok mungkin tidak mengendahkan larangan berikutan tabiat merokok selepas makan.

“Setakat ini 70 individu diberi notis amaran sebagai teguran, nasihat dan penguatkuasaan pendidikan.

“Kita mahu mendidik perokok bahawa penguatkuasaan larangan itu adalah bagi kepentingan orang lain terutama kanak-kanak,” katanya kepada pemberita selepas mengedarkan risalah larangan merokok di Medan Selera Penghulu Cantik di Seremban, hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan, Dr Ahamad Jusuh.

Menurut Veerapan, larangan merokok di premis makanan termasuk vape selaras pewartaan pindaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (pindaan 2018).

Katanya, dalam tempoh sama, seramai 152 pegawai diberi kuasa menjalankan pemeriksaan di 566 premis di seluruh negeri dan mengeluarkan 398 notis.

“Ia membabitkan 70 notis ke atas individu, 297 notis kepada pemilik (premis) yang tidak mempamerkan tanda larangan merokok dan 31 notis kerana menyediakan bekas abu rokok kepada perokok,” katanya.

Menurutnya, pihaknya setakat ini sudah mengedarkan 1,561 risalah kepada orang awam dan berharap pengecualian kompaun dalam tempoh enam bulan akan mendidik perokok.

“Kami berharap selepas ini tiada lagi individu merokok di semua restoran kedai makan, gerai makan, medan selera dan lokasi penyediaan makanan,” katanya.

Veerapan turut mengingatkan pemilik premis yang gagal mempamerkan tanda larangan merokok boleh dikenakan kompaun RM250 dan jika gagal membayar boleh didakwa di mahkamah dengan denda maksimum RM3,000 atau enam bulan penjara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 January 2019 @ 1:10 PM