Low Chee Leon (tiga dari kiri) beri penerangan mengenai larangan merokok di gerai makan. STR/ Muhammad Zuhairi Zuber
Nur Saliawati Salberi


SEGELINTIR pengusaha premis makanan di Melaka dilihat seakan tidak mengambil endah terhadap penguatkuasaan larangan merokok apabila gagal meletakkan tanda larangan merokok.

Menerusi penguatkuasaan yang dijalankan Jabatan Kesihatan negeri, 70 peratus daripada premis yang diperiksa gagal mempamerkan notis larangan merokok walaupun sudah dimaklumkan Kementerian Kesihatan.

EXCO Kesihatan negeri, Low Chee Leong berkata, bermula Selasa lalu hingga semalam, Jabatan Kesihatan negeri sudah memeriksa 272 premis di tiga daerah iaitu Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah.

Daripada jumlah itu katanya, 169 premis dikesan gagal mempamerkan notis larangan merokok.

“Mungkin mereka (pemilik premis) menunggu saat akhir itu saya tidak pasti tetapi Jabatan Kesihatan negeri sudah mengeluarkan notis amaran kepada pemilik premis ini.

“Seramai 28 perokok turut diberikan amaran selepas didapati masih merokok di premis makanan walaupun larangan sudah dikeluarkan,” katanya ditemui selepas menyertai Aktiviti Penguatkuasaan Larangan Merokok di Premis Makanan di Jalan Hang Tuah, Melaka, hari ini.

Turut hadir Pegawai Kesihatan Daerah Melaka Tengah, Dr Rusdi Abd Rahman.

Chee Leong berkata, walaupun tempoh percubaan, penguatkuasaan akan dilakukan secara berterusan.

“Dalam tempoh ini, penguat kuasa akan memakai seragam dan mendekati perokok yang masih ingkar serta memeriksa notis larangan merokok.

“Setiap hari akan ada dua kumpulan penguat kuasa dianggotai 10 orang di setiap daerah yang akan melakukan operasi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 January 2019 @ 7:05 PM