Ahmad Rabiul Zulkifli


SEKUMPULAN nelayan di Kampung Kolam, Kuala Nerus bergotong-royong menyelamatkan bot gentian kaca masing-masing di persisiran Pantai Mengabang Telipot dalam usaha mengelak bot mereka dihanyutkan ombak dan air pasang besar, hari ini.

Tinjauan ke pantai itu mendapati lebih 20 nelayan bekerjasama mengalihkan bot gentian kaca ke kawasan lebih tinggi, sekali gus mengelakkan bot digunakan untuk menangkap ikan itu dipukul ombak serta dihanyutkan ombak.

Rozi Husin, 48, berkata, dia dan nelayan lain tidak sedap hati dengan perubahan cuaca sejak akhir-akhir ini, malah kehadiran ribut tropika Pabuk memburukkan lagi keadaan di kawasan pantai.

“Risiko kehilangan bot sangat tinggi sekiranya bot gentian kaca itu terus dibiarkan di tepi pantai, justeru kami sepakat mengalihkan bot masing-masing di kawasan lebih tinggi dan jauh dari pantai.

“Keadaan cuaca tidak menentu meresahkan nelayan kerana ia tidak boleh dijangka, jadi persediaan awal perlu dibuat sebelum kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Syed Ahmad Amin Tuan Nek, 47, berkata, dia kali pertama menghadapi fenomena Pabuk dan walaupun ia dijangka melanda perairan ini sehingga hari ini, sebarang kemungkinan boleh berlaku kerana fenomena alam sentiasa di luar jangkaan.

“Jika diikutkan bot gentian kaca itu sudah dialihkan ke kawasan tinggi pada akhir Disember tahun lalu, tetapi kedudukan itu dirasakan masih belum selamat, justeru semua bot itu dianjak semula ke kawasan lebih selamat.

“Biasanya air pasang besar datang bersama ombak besar, justeru kebarangkalian untuk air membadai bot yang diletakkan di tempat biasa itu besar dan ia wajar dialihkan segera,” katanya.

Azmi Hamid, 50, berkata, sebelum ini air pasang besar dan ribut berlaku secara tiba-tiba kerap menghanyutkan bot gentian kaca diletakkan di tepi pantai membuatkan nelayan serik dan sentiasa berwaspada.

“Selain bot dihanyutkan, ribut dan ombak besar berisiko merosakkan bot sekiranya dibiarkan dan lebih teruk sekiranya bot itu terlingkup dan karam seterusnya sukar dijejaki.

“Keadaan cuaca tidak menentu tidak sesuai untuk nelayan ke laut, oleh itu wajar sekiranya semua bot gentian kaca yang berada di tepi pantai dialih ke kawasan selamat,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Lef Kol (PA) Che Adam A Rahman berkata, amaran berjaga-jaga berikutan ribut tropika Pabuk sudah ditamatkan 10 pagi hari ini selepas keadaan cuaca semakin baik.

“Bagaimanapun segala aktiviti di kawasan pantai dan laut diminta ditangguhkan terlebih dahulu sehingga keadaan cuaca pulih sepenuhnya.

“Biarpun fenomena Pabuk sudah tamat, kita masih berada pada musim tengkujuh atau fenomena monsun timur laut, sekali gus memberi peringatan kepada semua terutama nelayan untuk tidak menjalankan aktiviti menangkap ikan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 January 2019 @ 7:50 PM
NELAYAN di Kampung Kolam, Mengabang Telipot, Kuala Nerus bergotong-royong memindahkan bot gentian kaca mereka ke tempat lebih tinggi kerana bimbang dihanyutkan ombak ekoran Pabuk yang melanda di perairan Laut China Selatan. FOTO Imran Makhzan.