Nor Azmi menjaga isterinya dengan penuh kasih sayang yang terlantar sakit sejak lima tahun lalu akibat strok. FOTO L Manimaran
Farah Suhaidah Otman


DEMI kasih kepada isteri dan kesabarannya menjaga mentua sakit, seorang suami meninggalkan kerjayanya untuk ‘membalas’ pengorbanan besar wanita itu dengan menjaganya pula selepas wanita itu terlantar sakit akibat strok.

Ibarat menjaga seorang bayi, rutin harian Nor Azmi Aminuddin, 46, kini dia perlu menukar lampin, memandikan dan menyuap makanan kepada isterinya, Cik Hasnah Abu Hasan, 45.

Ketika sihat, Cik Hasnah menjaga ibu bapa Nor Azmi seperti orang tua kandung sendiri sehinggalah wanita itu diserang strok lima tahun lalu.

Nor Azmi berkata, setiap kali memandang wajah isterinya, dia pasti teringat wajah arwah ibu bapanya yang pernah dijaga isterinya.

“Sebelum ini, saya mengusahakan perniagaan bersama rakan di Kuala Lumpur dan menetap di sana sementara isteri dan empat anak menetap di Chemor.

“Ketika arwah ayah saya terlantar sakit akibat barah usus, isteri yang berulang-alik dari Chemor ke sini (Kampung Paloh) menjenguk ibu dan ayah sebelum dia membuat keputusan untuk berpindah ke sini menjaga mereka sepenuh masa.

“Tanggungjawab menjaga kedua ibu bapa saya adalah di bahu saya sendiri, namun isteri sanggup melakukan apa sahaja demi menjaga mereka seperti ibu bapanya sendiri termasuk membersihkan najis ayah saya tanpa rasa geli atau kekok.

“Malah apa sahaja kedua orang tua saya mahu makan, isteri akan tunaikan,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Paloh di sini hari ini.

Terdahulu, Nor Azmi dan Cik Hasnah dikunjungi Timbalan Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Perak, Puteri Holijoh Muhamad Rali dan rombongannya menerusi program Jejak Asnaf Ipoh Timur.

Dalam kunjungan itu, Nor Azmi menerima sumbangan wang tunai dan keperluan dapur bagi meringankan beban mereka sekeluarga.

Nor Azmi berkata, dia mengambil keputusan berhenti kerja

untuk menjaga isterinya yang diserang strok dipercayai berpunca daripada penyakit kencing manis dan darah tinggi, selepas tiga tahun melahirkan anak keempat mereka.

Menurutnya, sepanjang menjaga Cik Hasnah, dia bertuah kerana Allah SWT mempermudahkan urusannya meskipun berdepan kesukaran pada tahun pertama isterinya sakit kerana pada ketika itu ibunya turut terlantar sakit.

“Aturan Allah terhadap perjalanan hidup saya disusun cantik kerana alhamdulillah saya tidak mengalami kesukaran yang terlalu sulit.

“Dulu saya berulang-alik dari hospital untuk fisioterapi namun kini anak yang sulung sudah bekerja sebagai jurufisioterapi di sebuah syarikat di Meru, dekat sini dan melakukan rutin fisioterapi untuk emaknya.

“Dari segi bantuan, ramai yang menghulurkan baik dari segi keperluan dapur mahupun wang demi menyara kehidupan kami anak-beranak,” katanya yang turut menjaga abangnya orang kurang upaya (OKU).

Nor Azmi berkata, dia perlu menukar lampin, memandikan isterinya dua kali sehari dan memberi makan apabila tiba masanya.

Katanya, dia membelanjakan antara RM800 hingga RM900 sebulan bagi membeli kelengkapan isteri termasuk lampin dan susu.

“Tiada apa yang saya mahukan selain kehidupan yang selesa kerana rumah yang kami diami ini sudah berusia lebih 30 tahun dan banyak kebocoran di sana di sini, malah dinding kayu juga sudah reput,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 January 2019 @ 9:57 PM