MOHD Khairul ditemani isteri ketika berniaga.
BARANGAN alat ganti motosikal retro yang dijual.
Mohd Firdaus Ibrahim


KUALA LUMPUR: Demi ‘menghidupkan’ semula motosikal retro, dia sanggup mencari alat ganti kenderaan itu di dalam ‘reban’ di seluruh negara.

Mohd Khairul Panut, 31, berasal dari Tanjung Karang, Selangor, mula mengumpul alat ganti motosikal retro sejak 2013 kerana minat mendalam terhadap kenderaan itu.

Untuk rekod, alat ganti motosikal sering dikumpulnya seperti jenis Yamaha, Suzuki, Honda dan Vespa.

Menurutnya, dia mula menjadi pengumpul alat ganti itu sejak 2013 kerana mahu memastikan motosikal retro terus ‘hidup’ di jalanan.

“Niat saya sejak awal bergelar pengumpul bagi memastikan kenderaan retro terus digunakan di Malaysia. Jika tiada alat ganti, bagaimana peminat motosikal mahu melakukan pembaikan. Saya juga mahu anak muda ‘menikmati’ kehebatan motosikal retro.

“Jika ada orang nak beli saya jual dengan harga berpatutan, jika tiada saya akan simpan,” katanya ketika ditemui di Bangsar di sini.

Mohd Khairul yang lebih dikenali sebagai Bob SP yang bekerja sebagai pemandu kepada seorang kenamaan berkata, sebagai pengumpul alat ganti motosikal retro, dia akan menjelajah ke seluruh negara bagi mendapatkan barangan berkenaan.


MOHD Khairul ditemani isteri ketika berniaga.

“Istilah digunakan bagi pencari barangan itu adalah ‘menyelam’. Dalam reban pun kita ‘selam’ demi mendapatkan alat ganti,” katanya.

Katanya, satu kepuasan apabila dapat melihat kenderaan retro itu kembali digunakan di jalan raya.

“Antara barangan yang saya sering kumpul seperti Yamaha (RXS, RX100, YB100, L2G, LS3, RXZ, Sport, Enduro dan SS). Manakala, Honda (CG, CB, Raider, MBX dan NSR) serta Suzuki (GP, GT, Katana dan TR-S),” katanya.

Katanya, dia sering menyertai majlis permotoran di seluruh negara kerana permintaan pihak penganjur.

“Mana-mana ada majlis atau perjumpaan semula geng motor selalunya penganjur akan panggil saya untuk letakkan barangan di kawasan majlis. Jika tidak bekerja, saya akan pergi.

“Majlis terbesar setiap tahun yang pasti saya hadiri adalah Retromania Grand Gathering yang diadakan di Morib, Banting. Tahun ini ulang tahun itu akan berlangsung pada 13 dan 14 April,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 January 2019 @ 12:02 PM