Pejalan kaki maut dilanggar kereta ketika melintas jalan FOTO Ihsan Bomba
Izlaily Nurul Ain Hussein


PEJALAN kaki maut dilanggar kereta ketika melintas jalan di Kilometer 11.4 Lebuhraya Iskandar Sultan menghala ke arah Gelang Patah, Johor Bahru hari ini.

Dalam kemalangan jam 1.40 pagi itu, lelaki dipercayai warga India dengan identiti yang belum dikenal pasti, maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, kemalangan itu membabitkan Honda City dengan pejalan kaki terbabit.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu lelaki terlanggar mangsa yang ketika itu melintas jalan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak hospital dan mayatnya dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai untuk bedah siasat,” katanya.

Beliau berkata, pemandu kereta berusia 22 tahun luka di bahagian bahu dan dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis sedang mengesan waris mangsa.

“Kita tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri pada mangsa dan kini sedang mengesan waris mangsa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 January 2019 @ 1:56 PM