Mohamad Fahd Rahmat


PERSATUAN Pengusaha Stesen Minyak Bumiputera Malaysia (BUMIPEDA) mengucapkan tahniah kepada kerajaan kerana mendengar suara hati rakyat apabila menurunkan harga petrol dan diesel bermula hari ini.

Presidennya Datuk Abu Samah Bachik berkata, pada masa sama pihaknya juga mengalu-alukan keputusan kerajaan menaikkan komisen sebanyak tiga sen kepada pengusaha stesen minyak bagi penjualan petrol dan diesel di negara ini.

Katanya, kerajaan menaikkan komisen penjualan petrol daripada 12 sen kepada 15 sen setiap liter, manakala diesel daripada tujuh kepada 10 sen seliter.

“Namun, penurunan harga itu juga menyebabkan pengusaha stesen minyak kerugian kira-kira RM10,000 hingga RM40,000 selepas terpaksa menjual stok lama yang dibeli dengan harga tinggi sebelum ini.

“Kami tiada pilihan selain menjualnya walaupun kerugian kerana setiap pengusaha dikehendaki menyimpan sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga hari penggunaan di stesen minyal masing-masing,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, kerajaan menetapkan harga runcit petrol RON95 pada RM1.93 seliter; diesel (RM2.04 seliter) dan petrol RON97 (RM2.23 seliter) mulai 12 tengah malam hari ini hingga 11 Januari depan.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng dipetik berkata, kerajaan memutuskan untuk menetapkan harga runcit produk petroleum secara mingguan bagi membolehkan pengguna menikmati sebarang perubahan harga dengan lebih cepat selaras trend penurunan harga petroleum di pasaran dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 January 2019 @ 5:42 PM