Suhaila Shahrul Annuar

ROMBAKAN dan pertukaran jawatan kerajaan bukan hanya membabitkan Ketua Setiausaha (KSU) kementerian tetapi juga keseluruhan peringkat perjawatan dalam perkhidmatan awam.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Dr Ismail Bakar berkata, langkah itu bagi memastikan operasi perkhidmatan awam yang menjadi tulang belakang pentadbiran kerajaan lebih cekap dan mantap.

"Bukan hanya KSU, tetapi pertukaran ini membabitkan yang lain termasuk Setiausaha Bahagian.

"Kita tidak mahu mereka terlalu lama dan selesa di sesuatu jawatan dan kita galakkan pengalaman yang mereka ada dibawa ke kementerian lain untuk menambah kecekapan.

"Saya melihat pertukaran jawatan ini adalah dasar yang sudah lama dipraktikkan dalam kalangan pegawai kerajaan.

"Rombakan ini membabitkan semua daripada peringkat atasan hingga bawahan. Ada daripada mereka kenaikan pangkat dan ada daripadanya 'fresh' kerana kita memerlukan kepakaran mereka dalam bidang tertentu," katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Car Free Day Putrajaya di Putrajaya, hari ini.

Jumaat lalu, menerusi satu kenyataan Ismail berkata rombakan besar membabitkan pertukaran KSU kementerian dan Ketua Pengarah (KP) jabatan kerajaan yang berkuat kuasa esok mampu memperkukuhkan pentadbiran selain pengurusan tertinggi peringkat kementerian serta agensi yang terbabit.

Katanya, pengisian jawatan berkenaan dilakukan berikutan kekosongan akibat persaraan wajib dan tamat tempoh kontrak penyandang serta mengambil kira keperluan untuk dibuat pusingan penempatan dalam kalangan KSU kementerian sedia ada.

Beliau turut memaklumkan akan berlaku rombakan dan pertukaran yang seterusnya dalam perkhidmatan awam susulan berlaku kekosongan akibat persaraan wajib dan tamat tempoh kontrak penyandang.

"Dalam enam bulan yang akan datang ini ramai KSU yang akan bersara dan kita ambil kesempatan ini untuk rombakan mengikut kesesuian.

"Selain itu, mana-mana pegawai yang sudah berkhidmat lama di sesuatu tempat atau jabatan sebagai contoh siapa yang sudah lebih lima tahun mungkin akan berlaku pertukaran," katanya.

Dalam pada itu, pengumuman 12 KSU terbabit dalam pertukaran yang diumumkan Jumaat lalu, iaitu tujuh membabitkan pertukaran kementerian manakala lima lagi membabitkan kenaikan pangkat sebagai KSU baharu adalah kekal dan tiada perubahan, katanya.

Beliau turut menolak dakwaan bahawa pertukaran dan rombakan itu dipengaruhi elemen politik, sebaliknya dibuat secara profesional.

"Rombakan ini bagus kerana ia bersifat insklusif dan kerana kepakaran di kementerian lama dibawa ke kementerian baharu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 January 2019 @ 11:49 AM
ISMAIL (kanan) ketika sidang media selepas aktiviti riadah kuda pada majlis Hari Bebas Kenderaan Putrajaya. Turut bersama Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Dr. Aminuddin Hassim (kiri). FOTO Ahmad Irham Mohd Noor