Suzalina Halid


“TIDAK ada kenyataan tambahan melainkan kenyataan bertulis yang saya buat itu, ” kata Mohamad Sabu.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan menegaskan tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan tambahan susulan penahanan anaknya Ahmad Saiful Islam, 31, di sebuah pusat hiburan di Jalan Ampang, Kuala Lumpur sebelum disyaki positif dadah jenis ganja dalam serbuan semalam.

Katanya, beliau mengeluarkan kenyataan bertulis sebelum ini dan ia sudah memadai bagi menjawab insiden yang berlaku kepada anaknya itu.

Mohamad berkata demikian pada sidang media di Alor Setar, Kedah hari ini selepas ditanya sama ada beliau akan menyerahkan kes anaknya itu untuk siasatan polis.

Terdahulu, Mohamad yang juga Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) melawat rumah keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kasim, 24, iaitu anggota bomba yang maut, awal bulan lalu ketika menjalankan tugas ketika rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, November lalu.

Ahmad Saiful Islam bersama 101 individu ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Ampang pagi semalam oleh Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Difahamkan, Ahmad Saiful Islam bersama rakannya berusia 33 tahun sedang berhibur ketika operasi dijalankan sebelum ujian saringan awal air kencing dilakukan terhadap lelaki itu yang kemudian mendapati dia positif ganja.

Bagaimanapun, Ahmad Saiful Islam dibebaskan dengan jaminan polis pada jam 6 petang semalam.

Mohamad sebelum ini mengesahkan penahanan anaknya itu melalui kenyataan bertulis dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk bertindak berdasarkan proses undang-undang sedia ada.

“Anak saya sama seperti anak orang lain juga tertakluk kepada proses undang-undang negara,” katanya melalui kenyataan itu.

Berita berkaitan:

  • Biar polis siasat - Mat Sabu
  • [UPDATE] Anak menteri dibebaskan

    Anak menteri 'kantoi' ganja

    Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 January 2019 @ 11:49 AM