TOYOTA Hilux dilarikan suspek ditemui di kawasan semak di Long Lama. FOTO Mohd Rizal Abdullah
TOYOTA Hilux dilarikan suspek ditemui di kawasan semak di Long Lama. FOTO Mohd Rizal Abdullah
Mohd Rizal Abdullah


KURANG daripada 36 jam selepas melakukan samun dan mencuri pikap, tiga penjenayah ditahan polis dalam dua serbuan di daerah ini dan Long Lama, di Miri, kelmarin.

Lelaki berusia antara 30 hingga 39 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri 3 petang.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata, suspek ditahan selepas polis menerima maklumat mengenai kejadian samun dan curi kenderaan kira-kira jam 2.30 petang, Rabu lalu.

Menurutnya, sebelum kejadian, seorang daripada suspek dikatakan mahu membeli Toyota Hilux daripada pemiliknya seorang wanita berusia 81 tahun dengan harga RM12,000.

“Ketika berada di Jalan Bendahara, suspek menyamun mangsa dengan meminta wang dan pelbagai barang kemas sebelum melarikan kenderaan yang mahu dibelinya itu.

“Suspek kemudian memandu kenderaan itu ke Long Lama sebelum menyorokkannya bagi mengelak daripada dikesan polis,” katanya di Miri, hari ini.

Beliau berkata, hasil maklumat yang diterima daripada mangsa, sepasukan pegawai dan anggota dari BSJ IPD Miri diarahkan untuk mengesan suspek.

Katanya, dua suspek ditahan di Miri, manakala seorang lagi di Long Lama dan polis menemui semula Toyota Hilux disorokkan di kawasan semak.

“Polis percaya dengan penahanan suspek, kes samun dan curi kenderaan ini berjaya diselesaikan, namun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan pembabitan suspek dalam kegiatan jenayah lain di daerah ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 January 2019 @ 3:23 PM