ZURAIDA (kiri) berbual dengan Asma (tengah) dan Mohd Kassim Abdul Hamid ketika melawat keluarga Allahyarham di Kampung Tebengau, Kuala Kedah. FOTO Amran Hamid

Suzalina Halid

IBU Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kasim mengharapkan keadilan buat anaknya dapat ditegakkan melalui prosiding inkues bagi menentukan punca kematian anggota bomba itu yang bermula 18 Januari ini.

Asma Aziz, 51, berkata, besar harapannya supaya kes membabitkan Muhammad Adib dapat diselesaikan secepat mungkin dengan dalang utama kematian anaknya itu dibawa ke muka pengadilan.

“Mak cik harap sangat nak cepat selesai kes ini dengan siasatan lengkap menyeluruh bagi menuntut keadilan buat arwah... tangkap depa itu, dalang yang suruh (buat rusuhan).

“Mak cik nak tengok orang yang ‘katuk’ (pukul) anak mak cik itu, mak cik nak tengok orang yang sanggup buat anak mak cik macam itu, ” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tebengau, Kuala Kedah hari ini.

Terdahulu, Asma dan suaminya, Mohd Kasim Abdul Hamid, 63, menerima lawatan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin sebelum dikunjungi Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Sebelum ini, Mahkamah Shah Alam menetapkan 18 Januari ini bagi pengurusan kes inkues untuk menentukan punca kematian Allahyarham Muhammad Adib, 24, anggota bomba yang maut dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya.

Allahyarham Muhammad Adib yang parah akibat dipukul sekumpulan perusuh ketika insiden di kuil itu pada 26 November lalu, disahkan meninggal dunia pada jam 9.41 malam 17 Disember lalu di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Pada masa sama, Asma berkata, sehingga kini, dia tidak pernah ketinggalan ‘menziarahi’ Muhammad Adib di tanah perkuburan Masjid As-Saadah, berhampiran rumahnya selepas Subuh bagi menitipkan doa buat arwah anaknya itu.

“Sekarang mak cik sudah boleh pergi kubur, setiap hari pergi selepas solat subuh dekat masjid mak cik sedekahkan Al-Fatihah dan berdoa buat arwah, ” katanya yang menghargai kunjungan pelbagai pihak di rumahnya hampir setiap hari.

Berita berkaitan

Pastikan tiada lompong inkues

  • Lagi berita berkaitan Allahyarham Muhammad Adib
  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 January 2019 @ 3:59 PM