Antara anjing yang ditemui mati dipercayai diracun.
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


PENDUDUK Taman Lavender Height, Seremban gempar dengan penemuan bangkai anjing liar yang mati dipercayai akibat diracun individu tidak bertanggungjawab, Isnin lalu.

Difahamkan, perbuatan itu dilakukan dengan meletakkan racun tikus dalam makanan anjing bertujuan membunuh haiwan itu susulan penemuan bangkai empat anjing terbiar dan seekor yang mempunyai pemilik di dalam longkang taman perumahan itu.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, pihaknya menerima laporan kejadian daripada seorang lelaki berusia 50 tahun, jam 10.45 malam semalam.

Katanya, pengadu memaklumkan dia keluar rumah jam 10 malam 28 Disember lalu dan meninggalkan lima anjing di kediamannya.

“Lelaki itu mendakwa meminta jiran menjaga haiwan peliharaannya dan sekembalinya jam 9 malam Ahad minggu lalu, seekor anjing miliknya didapati hilang.

“Keesokan hari, lelaki itu menemui anjingnya mati di lorong belakang rumah dan percaya ia akibat diracun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Thiew berkata, lelaki itu turut mendakwa melihat dua anjing terbiar mati diracun berhampiran rumahnya antara Selasa hingga Jumaat lalu.

“Polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan membunuh atau mencacatkan haiwan.

“Orang ramai dinasihatkan tidak menularkan insiden ini di laman sosial tanpa fakta sahih bagi mengelak kekeliruan dan salah faham,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 January 2019 @ 4:32 PM