ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan. FOTO Ihsan Bomba.
Hazsyah Abdul Rahman


LELAKI maut, manakala dua cedera selepas dua kenderaan pacuan empat roda bertembung di Kilometer 8, Jalan Beluran-Telupid berdekatan Kampung Sungai Nangka, dekat Beluran, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 5 pagi itu, pemandu Mitsubishi Triton, Joseph Tan Delos Reyes, 57, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada badan selepas tersepit dalam kenderaannya.

Penumpang Mitsubishi Triton, lelaki berusia 30-an serta pemandu Toyota Hilux, Jahimi Tinggalon, 56, yang mengalami kecederaan dikejarkan ke Hospital Beluran untuk rawatan.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan V Shivavnanthan berkata, nahas dilaporkan berlaku selepas Mitsubishi Triton yang datang dari arah Sandakan dipercayai memasuki laluan bertentangan selepas hilang kawalan.

“Akibatnya, ia bertembung dengan Toyota Hilux yang datang dari arah Beluran.

“Pemandu Mitsubishi Triton maut di tempat kejadian manakala dua individu lain cedera,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 January 2019 @ 4:35 PM