FOTO Ihsan PGA
Zuliaty Zulkiffli


DAUN ketum seberat 3,000 kilogram yang bernilai RM150,000 ditemui anggota pasukan keselamatan di Bukit Kayu Hitam, semalam.

Ia disembunyikan dalam timbunan guni putih dan plastik hitam di dalam khemah di ladang FELCRA Lubuk Sireh dan Hutan Simpan Kekal Mata Ayer.

Komander Bridged Utara (PGA) Ulu Kinta, Perak, Senior Asisten Komisioner Shahar Ibrahim berkata, daun ketum itu ditemui pada jam 12 tengah hari.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas tiga alat penimbang yang dipercayai digunakan untuk menimbang daun berkenaan.

“Selepas pemerhatian hampir satu jam, tiada sesiapa yang datang mengambil barang itu.

“Sehubungan itu, kita mengambil tindakan dengan merampas barangan berkenaan untuk siasatan lanjut,” katanya

Beliau berkata, daun ketum itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar, Perlis untuk tindakan lanjut.

Mengulas lanjut, Shahar berkata, pihaknya percaya daun ketum itu dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.

Difahamkan, kawasan itu dijadikan tempat penyimpanan daun ketum sebelum diseludup ke negara jiran.

Ia kerana daun itu mendapat permintaan dan harga yang tinggi di negara berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 January 2019 @ 7:49 PM
Skip this ad x