LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Muhamaad Razis Ismail


PENDUDUK Kelantan terkejut dengan berita Sultan Muhammad V meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong berkuat kuasa, hari ini.

Malah, ada dalam kalangan penduduk yang ditemui mengakui tidak mengetahui berhubung berita mengejutkan itu.

Peniaga, Siti Nur Fahimah Razali, 25, berkata, dia mengetahui mengenai perkara itu di laman sosial Facebook yang mula tular sejak petang ini.

Katanya, pada mulanya dia tidak mempercayai perkara itu kerana khabar angin mengenai peletakan jawatan ini sudah tersebar sejak minggu lalu.

“Bagaimanapun, sebaik terbaca di Facebook Harian Metro dan Berita Harian berserta kenyataan media Istana Negara saya mula mempercayainya.

“Sebagai rakyat Kelantan, sudah tentu saya terkejut kerana Tuanku seorang yang berjiwa rakyat, mengambil berat soal kebajikan rakyat dan cukup mesra dengan pelbagai lapisan masyarakat.

“Biarpun sedih dengan keputusan Tuanku, rakyat Kelantan perlu menerimanya dengan hati terbuka," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, seorang pengawal keselamatan Zul Akmal Ali, 37, yang tidak mengetahui berita peletakan jawatan itu terkejut sebaik dimaklumkan perkara itu.

“Sebelum ini memang saya sudah dengar mengenai perkara ini dan saya pun tidak ambil berat sangat kerana beranggapan ia adalah khabar angin. Tidak sangka berita itu menjadi kenyataan hari ini,” katanya.

NSTP melaporkan Sultan Muhammad V meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong berkuat kuasa serta-merta, hari ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz dalam satu kenyataan hari ini berkata, peletakan jawatan baginda itu dibuat selaras Perkara 32(3) Perlembagaan Persekutuan dan sudah dimaklumkan secara rasmi kepada Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja melalui warkah yang diutuskan kepada Setiausaha Majlis Raja-Raja.

Berita berkaitan

Agong letak jawatan

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 January 2019 @ 7:55 PM