Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

Seremban: “Kami mahukan pembelaan buat bapa. Tindakan ini sangat tidak bertanggungjawab,” kata Loi Shing Yun, 42, anak kepada seorang warga emas, Loi Ah Kiow, 68, yang maut dalam kejadian langgar lari di Jalan Tuanku Antah, 30 Disember lalu.

Loi berkata, dalam kejadian jam 12.17 tengah hari itu, bapanya keluar dari rumah di Kampung Baru Paroi dengan menunggang motosikal Demak Spark bersendirian menuju ke bandar Seremban sebelum ke sebuah tokong di Rahang bagi menjalani rawatan kaki secara tradisional kerana menghidap kencing manis.

“Ketika melalui selekoh berdekatan sebuah pusat servis kenderaan, sebuah kereta Perodua Kelisa warna keemasan melanggar motosikal bapa di sebelah kiri menyebabkan dia tercampak ke bahu jalan.

“Akibat kejadian, bapa cedera di kepala, patah tulang rusuk kanan, lebam mata, luka di kaki kiri dan kanan selain tempurung kepala retak,” katanya membuat aduan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temiang Ng Chin Tsai di pejabatnya di Temiang, semalam.

Menurutnya, orang awam yang menyaksikan kejadian menghubungi ambulans sebelum bapanya dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ).

Katanya, orang ramai turut menghubungi adiknya, Loi Shing Yin, 40, yang ketika itu berniaga di Pasar Besar Seremban pada jam 12.30 tengah hari.


LOI (dua dari kiri) menunjukkan rakaman CCTV beserta gambar bapanya yang maut dilanggar lari. FOTO Hazreen Mohamad.

Loi berkata, bagaimanapun bapanya meninggal dunia jam 1 pagi Rabu lalu ketika sedang dirawat di HTJ.

Menurutnya, susulan kematian bapanya, dia dan ahli keluarga ke sebuah pusat jualan kereta terpakai berhampiran lokasi kejadian bagi mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), Khamis lalu.

“Pemerhatian menerusi CCTV mendapati sebaik dilanggar, seorang lelaki tempatan berusia 40-an keluar daripada kereta untuk meninjau keadaan bapa. Dia kemudian mengubah kenderaan di kawasan lebih depan dan mahu meninjau keadaan bapa buat kali kedua.

“Ketika itu lelaki berkenaan juga dilihat bercakap dengan seseorang di tepi jalan sebelum beredar dari tempat kejadian,” katanya satu laporan turut dibuat di Balai Polis Paroi, jam 11.15 pagi Isnin lalu.

Loi berkata, ahli keluarganya mahukan pembelaan dan berharap orang ramai yang mengenali lelaki berkenaan supaya menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa yang sedang melakukan siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 January 2019 @ 11:37 AM