SUAMI isteri didakwa atas kesalahan membunuh anak lelaki mereka, hari ini. Foto HAIRUL ANUAR RAHIM
Mohd Sabran Md Sani


SUAMI isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini atas tuduhan membunuh anak lelaki mereka berusia lima tahun dalam kejadian di Taman Sentosa pada Disember lalu.

Tertuduh, Mohd Wirah Mohd Yakub, 33, yang juga bapa kandung mangsa dan Nur Aqma Rosli, 22, iaitu ibu tiri mangsa, mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rashidah Baharom.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkod daripada kedua-dua tertuduh berkenaan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohd Wirdah yang bekerja sebagai tukang masak didakwa bersama-sama isterinya dengan niat bersama melakukan pembunuhan dengan mengakibatkan kematian terhadap anak lelaki mereka.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Sutera, Taman Sentosa antara jam 11 pagi hingga 10.26 malam pada 25 Disember lalu.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 17 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat, kimia dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Abdul Jalil Salam.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Nur Aqma juga berdepan satu pertuduhan menganiaya anak tiri lelakinya berusia empat tahun hingga mengakibatkan kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di alamat sama antara Jun 2018 hingga 25 Disember lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman maksimum denda RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Wanita berkenaan bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Faiz Dziyauddin.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suhaili Sapun, manakala tertuduh diwakili peguam R Subash.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 11 Februari ini.

Media sebelum ini melaporkan kanak-kanak lelaki itu maut selepas disyaki menjadi mangsa dera di rumah mereka dekat Bandar Dato’ Onn, Johor Bahru.

Mangsa dipercayai pengsan ketika dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Sultan Ismail (HSI), sebelum disahkan meninggal dunia oleh doktor.

Susulan kejadian itu, polis menahan reman bapa kandung dan ibu tiri mangsa sebelum siasatan kemudian mendapati adik mangsa turut disyaki didera menyebabkannya dirujuk kepada pakar kanak-kanak dan psikiatri untuk pemeriksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 January 2019 @ 1:57 PM