Sebahagian rokok seludup yang dirampas PPM. FOTO Ihsan PPM
Fardy Bungga


UNIT Gempur Marin (UNGERIN) Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah mematahkan cubaan menyeludup masuk 42,000 bungkus rokok pelbagai jenis dianggarkan bernilai lebih RM500,000.

Semua rokok seludup itu dikesan disembunyikan di kawasan semak di pesisir pantai muara Sungai Kinarut di Papar jam 10.15 malam tadi.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, kejayaan itu adalah hasil pemantauan sekitar pantai Kinarut dalam operasi khas dengan berpandukan maklumat daripada Unit Risik Marin (URM).

Katanya, ketika pemeriksaan, pihaknya mengesan longgokan bungkusan plastik hitam dan kotak yang dipercayai disembunyikan sebelum dijual untuk pasaran tempatan.

“Hasil pemeriksaan mendapati bungkusan dan kotak itu berisi pelbagai jenis rokok yang dipercayai diseludup tanpa membayar cukai kastam. Nilai keseluruhan rampasan ialah RM543,920,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, semua rokok itu dipercayai dibawa masuk menggunakan jalan darat dari Lawas di Sarawak untuk dipasarkan di sekitar Papar dan Kota Kinabalu.

Katanya, hasil risikan juga mendapati rokok terbabit dihantar menggunakan kenderaan darat persendirian untuk dikumpulkan di lokasi berkenaan.

“Lokasi itu dipercayai dijadikan tempat pemunggahan dan transaksi sebelum diedarkan.

“Sindiket ini disyaki tidak menggunakan jalan laut disebabkan kekangan dan penguatkuasaan berterusan oleh pihak berkuasa laut selain keadaan air cetek dan berbatu menyukarkan pergerakan bot.

“Semua rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana melindungi, menyembunyi dan menyimpan barang tidak berkastam atau barang larangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 January 2019 @ 2:56 PM