ANGGOTA APM mengeluarkan anak kucing yang tersepit di tayar belakang motosikal. FOTO Ihsan APM
Nurul Hidayah Bahaudin


SEEKOR anak kucing tersepit di bahagian tayar belakang motosikal kira-kira 15 minit sebelum berjaya dikeluarkan dalam kejadian berhampiran Kelab Tasik Putrajaya, di Presint 8, Putrajaya hari ini.

Pegawai Bencana Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Leftenan (PA) Mohamad Asnizam Tukiman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu, 8.32 pagi.

“Seramai lima pegawai dan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian. Sebaik tiba, kami mendapati anak kucing terbabit berada pada lubang antara komponen badan dengan tayar belakang motosikal berkenaan.

“Kami mengambil masa kira-kira dua minit untuk mengeluarkan anak kucing berkenaan,” katanya ketika dihubungi, di Kuala Lumpur, hari ini.

Mohd Asnizam berkata, berdasarkan keterangan penunggang motosikal berusia lingkungan 30-an, anak kucing itu tiba-tiba muncul dan berlari melintas jalan ketika kejadian.

“Ia dipercayai mengelak motosikal berkenaan dengan lari ke arah tayar belakang kenderaan itu menyebabkannya tersepit.

“Haiwan terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala motosikal juga tidak rosak akibat kejadian terbabit,” katanya yang memaklumkan anak kucing berkenaan diambil oleh orang awam yang berada di lokasi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 January 2019 @ 3:24 PM