KENDERAAN yang membawa Sultan Perak keluar dari Istana Negara berikutan Mesyuarat Majlis Raja-Raja. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Mohd Anwar Patho Rohman


MESYUARAT khas Majlis Raja-raja yang berlangsung di Istana Negara, hari ini difahamkan memutuskan supaya Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah diangkat sebagai Pemangku Yang di-Pertuan Agong.

Berdasarkan laporan New Straits Times (NST) hari ini, keputusan itu dicapai menerusi mesyuarat dihadiri enam daripada sembilan Sultan dan Raja iaitu dari Perlis, Terengganu, Negeri Sembilan, Johor, Perak dan Kedah.

Pada mesyuarat khas itu, Sultan dan Raja yang hadir menetapkan tarikh bagi mengadakan mesyuarat khas Majlis Raja-raja memilih Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Bagaimanapun, butiran lanjut berkenaan mesyuarat hari ini akan dimaklumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dalam satu kenyataan.

Mesyuarat berkenaan diadakan susulan Sultan Muhammad V meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong XV berkuat-kuasa semalam.

Baginda ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 13 Disember 2016 dan tempohnya sepatutnya berakhir pada tahun 2021.

Sehingga Majlis Raja-raja belum memilih Yang di-Pertuan Agong yang baharu maka Sultan Nazrin Muizzuddin Shah difahamkan akan terus memangku jawatan itu.

Kebiasaannya, Sultan atau Raja yang paling kanan dari segi pemerintahan dipilih tetapi peraturan itu tidak lagi diguna pakai selepas semua Raja negeri ditabal menjadi Yang di-Pertuan Agong.

Berikutan peletakan jawatan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong semalam, Ketua Negara baharu perlu dipilih untuk negara.

Mengikut amalan, Yang di-Pertuan Agong dipilih berdasarkan sistem penggiliran setiap lima tahun mengikut negeri.

Menurut senarai, giliran seterusnya adalah Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah. Namun, takhta baginda kini dipangku anakandanya Tengku Abdullah.

Jika Majlis Raja-Raja tidak memilih Sultan Ahmad Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong baharu, giliran seterusnya adalah Johor yang diperintah Sultan Ibrahim Iskandar.

Perlembagaan memperuntukkan seorang Raja layak dipilih kecuali belum dewasa atau dipersetujui Majlis Raja-raja dan memberitahu Penyimpan Mohor Besar Raja-raja yang Baginda tidak berhasrat dipilih.

  • Lagi berita berkaitan Agong letak jawatan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 January 2019 @ 3:31 PM