Wan Saiful
Rohaniza Idris


BEKAS Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Perlis yang digugurkan jawatan, Wan Saiful Wan Jan mempertahankan tindakannya membuat laporan polis terhadap kes pemalsuan dokumen di pejabat parti itu di negeri berkenaan.

Beliau yang juga Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN) berkata, ada pihak menggesanya menarik balik laporan polis berkenaan tetapi berkeras untuk tidak sama sekali berbuat demikian.

“Saya tidak pasti apa motifnya laporan itu mahu ditarik balik, tetapi saya berkeras tidak mahu menarik balik laporan polis itu,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Dipercayai kenyataan itu sebagai reaksi keputusan BERSATU Perlis yang menggugurkan jawatannya itu seperti yang didedahkan Pengerusi BERSATU Perlis, Ameir Hassan, hari ini.

Ameir dilaporkan berkata, langkah pengguguran itu bagi memberikan Wan Saiful ruang untuk lebih fokus kepada jawatannya selaku Pengerusi PTPTN yang perlu lebih diutamakan kerana beliau berada di peringkat Pusat.

“Tidak timbul isu kami tidak sehaluan dengan Wan Saiful kerana melalui keputusan ini, beliau dapat fokus dengan kerjanya di PTPTN.

“Selain itu, ini bagi meringankan kos pengangkutannya yang perlu pulang ke Perlis setiap hujung minggu sekiranya beliau masih memegang jawatan di peringkat negeri,” katanya.

Wan Saiful mendedahkan ketegasannya untuk tidak mencampuri urusan mengaturkan pemberian kontrak kerajaan bernilai puluhan juta ringgit kepada syarikat yang membabitkan anak pemimpin BERSATU dari Perlis.

Beliau mendakwa ditawarkan wang yang besar sekiranya membantu pengaturan kontrak berkenaan.

“Saya enggan melakukan salah guna kuasa itu. Saya tidak akan bertolak ansur dalam hal integriti, dan saya tidak akan tunduk kepada tekanan untuk mendapatkan wang dengan cara salah oleh mana-mana individu tanpa mengira jawatan yang mereka pegang di Perlis.

“Hal ini menambah iltizam saya untuk membantu BERSATU di Perlis menjadi lebih baik. Saya akan terus bekerja untuk kebaikan parti. Malaysia Baru perlu disambung menjadi Perlis Baru,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 January 2019 @ 3:33 PM