Dua ahli Geng TM yang diberkas polis. FOTO Ihsan PDRM
Shamsul Munir Safini


SELEPAS terbabit dalam 10 kes curi kabel di sekitar Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan Baling, Kedah, kumpulan dikenali ‘Geng TM’ tumpas diberkas polis dalam beberapa siri serbuan.

Tiga lelaki berusia 23 hingga 25 tahun yang juga ahli kumpulan itu ditahan dalam operasi Khamis lalu dan hari ini.

Dalam dua serbuan berasingan di Guar Perahu dan Seberang Jaya jam 2 pagi hari ini, dua lelaki ditahan susulan penahanan seorang rakan mereka dalam satu kejadian di Permatang Tinggi Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, dalam kejadian jam 3.30 pagi Khamis lalu itu polis yang sedang melakukan rondaan di Kampung Tok Suboh, Permatang Tinggi terserempak dengan empat lelaki dalam keadaan mencurigakan di kawasan gelap di situ.

“Ketika kami cuba menahan mereka, berlaku sedikit pergelutan menyebabkan tiga daripada mereka berjaya melarikan diri manakala seorang lagi gagal sebelum ditahan.

“Tiga suspek lelaki itu melarikan diri dengan motosikal,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan yang dilakukan pada badan suspek menemui gunting pemotong dawai selain tiga gulung kabel Telekom Malaysia (TM) pelbagai saiz sepanjang 30 meter bersamanya.

Nik Ros Azhan berkata, suspek yang disyaki mencuri kabel itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah untuk tindakan susulan.

Katanya, susulan penahanan suspek, polis kemudian berjaya menahan dua lagi rakannya di Guar Perahu dan Seberang Jaya pagi tadi.

“Hasil soal siasat ketiga-tiganya bersama seorang lagi yang masih bebas mengaku terbabit dalam 10 kejadian curi kabel di daerah ini dan Baling, Kedah.

“Mereka juga mengaku menjual semua barang berkenaan di stor barang lusuh, Sungai Rambai pada November dan Disember lalu,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 January 2019 @ 4:12 PM