CHRIST Putra Elvin yang melecur 70 peratus anggota badannya selepas terkena arus elektrik. FOTO Ihsan Keluarga
Amin Ridzuan Ishak


“SEKARANG kejadian ini menimpa anak saya sehingga menyebabkan anggota badannya melecur, mungkin pada masa hadapan orang lain pula jadi mangsa sekiranya tiada langkah keselamatan diambil.

“Pihak berkenaan perlu mengambil tindakan segera dengan memperbaiki pagar sudah rosak dan roboh selain melakukan pemantauan berterusan,” kata Hanaffie Ajik, 33.

Hanaffie adalah bapa kepada Christ Putra Elvin Hanaffie yang melecur 70 peratus anggota badannya selepas terkena arus elektrik di Pencawang Pembahagian Utama (PPU) Kampung Sentol, Pos Betau, Lipis, Khamis lalu.

Dia yang juga anggota tentera di Kem Wadieburn, Kuala Lumpur berkata, pencawang elektrik itu amat berisiko dan berbahaya kepada orang ramai yang sering datang ke kawasan berhampiran untuk mendapatkan liputan telekomunikasi.

“Ia juga terletak di jalan utama dilalui orang ramai, seharusnya pemantauan berterusan perlu dilakukan dan diperbaiki infrastruktur rosak.

“Kita tidak ingin kejadian seperti itu berulang pada masa hadapan yang menyebabkan orang lain pula menjadi mangsa seperti anak saya, kawasan itu terletak di jalan utama dilalui orang ramai,” katanya ketika dihubungi NSTP, di Kuantan, hari ini.

Dalam kejadian Khamis lalu, Christ Putra Elvin yang berusia tujuh tahun melecur 70 peratus anggota badannya selepas terkena arus elektrik di pencawang elektrik di Kampung Sentol.

Menceritakan semula kejadian itu, Hanaffie berkata, dia bersama anaknya ke Kampung Sentol yang terletak dua kilometer (km) daripada kediamannya di Kampung Simoi Baru kira-kira 11 pagi bagi mencari liputan telekomunikasi untuk menghubungi keluarganya di Hospital Bentong.

“Liputan telekomunikasi hanya ada di sekitar pencawang berkenaan, tidak lama selepas itu anak saya memasuki kawasan itu menerusi pagar yang sudah roboh dan cuba mengejarnya sebelum mendengar jeritan anak.

“Saya melihatnya tercampak dan bajunya hangus serta mengalami luka di bahagian kepala... saya meminta tolong daripada penduduk berhampiran yang membawanya ke Klinik Kesihatan Pos Betau sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Koyan dan Hospital Lipis,” katanya.

Katanya, anaknya kemudian dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur Jumaat lalu, dan kini keadaannya stabil namun masih mengalami kesakitan serta sukar untuk bercakap dan makan.

“Dia hanya makan nasi sedikit sahaja kerana kesakitan, memang sedih melihat keadaannya itu. Saya berharap keadaannya akan kembali pulih tidak lama lagi.

“Dia sepatutnya sudah memulakan persekolahan tahun satu di Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Setapak, namun terpaksa ditangguhkan,” kaanya.

Menurutnya, ketika kejadian kami pulang ke kampung untuk menyambut Krismas tetapi insiden ini pula menimpanya.

“Wakil pihak berkenaan ada datang berjumpa kami semalam dan menyatakan simpati di atas kejadian berkenaan,” katanya.

Berita berkaitan

'Aduh, sakitnya...'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 January 2019 @ 4:20 PM