FOTO Hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


SEORANG wanita yang pernah dijatuhi hukuman kerana kesalahan berkhalwat masih tidak serik apabila sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu, hari ini kerana kesalahan sama.

Tertuduh berusia 25 tahun yang dicekup buat kali ketiga bersama pasangan berbeza diperintahkan dihantar ke Pusat Pemulihan Wanita di Sabak Bernam, Selangor selama empat bulan.

Keputusan itu dibuat Hakim Mohd Fakhruddin Yusof selepas tertuduh yang berasal dari Marang mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 31(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana berkhalwat.

Bagaimanapun, pasangannya yang turut mengaku salah atas kesalahan sama dikenakan denda RM2,400 atau sebulan penjara sekiranya dia gagal menjelaskan denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama pasangannya berusia 21 tahun didakwa berkhalwat di sebuah bilik hotel bajet di daerah ini, jam 10.20 pagi pada 2 Januari 2018.

Sebelum ini, tertuduh yang pernah dicekup berkhalwat ketika berusia 16 tahun di sebuah hotel bersama pasangan berbeza dikenakan hukuman bon berkelakuan baik selama tempoh dua tahun.

Bagaimanapun, tertuduh sekali lagi ditangkap di hotel bersama pasangan yang lain pada dua tahun lalu.

Terdahulu, ketika ditanya mahkamah sama ada ada terbabit dengan sindiket pelacuran, tertuduh menafikan perkara itu sebaliknya memaklumkan melakukan perbuatan terbabit dengan kerelaan dirinya kerana ketagih.

Malah, ibu tertuduh yang turut berada di mahkamah turut merayu agar anaknya tidak dihantar ke penjara atau pusat pemulihan dengan alasan tidak sanggup berpisah kerana terlalu sayang kepada tertuduh.

Bagaimanapun, rayuan itu ditolak kerana mahkamah berpendapat tertuduh perlu dikenakan hukuman berbentuk lebih kepada satu sokongan dan penjagaan yang khusus.

Ini memandangkan hukuman yang diberikan sebelum ini gagal memberi kesan berguna bahkan tertuduh langsung tidak takut dan gerun dengan hukuman diberikan kepadanya sebelum ini

Pendakwaan dijalankan Pendakwa Syarie, Khanurulhajja Mustafar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 January 2019 @ 4:45 PM