MANGSA maut selepas motosikal ditunggangnya terlanggar tayar lori yang tercabut. Gambar kecil, keadaan lori yang tercabut tayar. FOTO ihsan polis.
Iskandar Shah Mohamed


SEORANG jurutera dipercayai dalam perjalanan ke mahkamah maut selepas motosikal ditunggangnya terlanggar tayar belakang lori yang tercabut secara tiba-tiba di Kilometer 21.8 Lebuhraya Shah Alam (KESAS) di Klang, tengah hari ini.

Dalam kejadian 1 tengah hari itu, mangsa, Nazarudin Yahya, 27, yang bekerja di sebuah syarikat minyak mengekori lori berkenaan sebelum tayar kiri belakang kenderaan berat itu tercabut.

Mangsa yang tidak sempat mengelak terlanggar tayar berkenaan dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang Modenas Kriss dalam perjalanan ke Mahkamah Shah Alam atas urusan tertentu.

“Setiba di lokasi kejadian, mangsa yang datang dari arah Klang dipercayai terlanggar tayar lori yang tercabut di lebuh raya berkenaan.

“Ia mengakibatkan mangsa kemudian tercampak ke arah besi penghadang jalan berdekatan.

“Mangsa mengalami kecederaan teruk di kepala lalu disahkan meninggal dunia,” katanya.

Shamsul Amar berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 January 2019 @ 7:51 PM