SIHABUTHEEN (kiri) mengumumkan kaunter restoran nasi kandar Pelita akan menghentikan penjualan rokok mulai hujung tahun ini sambil diperhatikan Shamsuri. FOTO Rosli Ahmad.
Nur Izzati Mohamad


PENJUALAN rokok di semua kaunter rangkaian restoran nasi kandar milik Pelita Samudra Pertama (M) Sdn Bhd (Pelita) di seluruh negara akan dihentikan mulai hujung tahun ini.

Ia adalah bagi menyokong hasrat kerajaan yang menguatkuasakan larangan merokok di restoran dan kedai makan mulai awal tahun ini untuk menjadikan rakyat di Malaysia sebagai masyarakat maju penuh bertamadun menjelang 2020.

Pengarah Eksekutif Pelita, Datuk K K Sihabutheen, berkata pihaknya menyambut baik usaha kerajaan dan bersedia untuk menghentikan penjualan rokok walaupun beberapa pihak termasuk persatuan pengusaha restoran sebelum ini mendesak kerajaan menarik balik larangan merokok di restoran.

Bagaimanapun, katanya, Pelita memerlukan sedikit masa untuk melaksanakannya memandangkan notis penguatkuasaan larangan merokok dibuat kerajaan berlaku dalam tempoh singkat.

“Buat masa ini, kami terikat dengan kontrak bersama pihak pembekal rokok, namun kami akan pastikan semua kaunter jualan akan dikeluarkan secara peringkat demi peringkat hingga akhir tahun ini.

“Kami yakin langkah ini akan disokong pelanggan apatah lagi tidak ramai datang menikmati makanan di sini merokok dan kebanyakan mereka mahu satu kawasan bebas daripada asap rokok,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai larangan merokok di restoran yang dikuatkuasakan kerajaan pada hari pertama tahun baharu ketika sidang media di Seberang Jaya, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Pelita, Datuk Shamsuri Ahmad.

Pada Disember lalu, kerajaan mengisytiharkan restoran dan kedai makan sebagai kawasan larangan merokok selaras dengan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2017.

Larangan itu mula dikuatkuasakan pada 1 Januari lalu namun tindakan saman terhadap mereka yang masih ingkar akan dikenakan dalam tempoh enam bulan dari sekarang.

Sementara itu, Sihabutheen berkata, pihaknya yakin pelanggan restoran itu tidak mudah terpedaya dengan kiriman WhatApps tular berhubung status premis itu yang kononnya tidak halal.

“Pada setiap tahun, kami akan berdepan dengan fitnah kononnya mengatakan bahawa restoran ini tidak halal dan kami sekali lagi mahu menegaskan bahawa semua 30 rangkaian restoran nasi kandar Pelita mempunyai sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sejak 2012 melalui pelbagai prosedur dan kriteria ditetapkan.

“Untuk mendapatkan sijil halal daripada JAKIM ia bukannya mudah bahkan JAKIM adalah antara badan paling diperakui dalam semua negara yang mengeluarkan sijil halal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 January 2019 @ 12:00 AM