Siraj Mohd Zaini
siraj@nstp.com.my


TIGA lelaki dan seorang wanita ditahan polis, malam tadi, berhubung kes bunuh calon Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shah Alam, M Thiyahu, 30, di pangsapuri di Seksyen 7, Shah Alam, petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, tiga lelaki berusia 23, 24, serta 25 tahun manakala wanita berusia 20 tahun ditahan sekitar Shah Alam dan Klang dan kini direman selama tujuh hari mulai hari ini.

Menurutnya, polis juga sedang mengesan seorang lelaki dikenali sebagai M D Ozziram, 25, bagi siasatan lanjut kes berkenaan.

“Lelaki itu digelar Ozzi dan alamat terakhirnya di Taman Karupiah, Padang Jawa, Klang.

“Sehubungan itu orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan K Vignesh Kumar di talian 03-55202222,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


KESAN darah yang terdapat di lokasi kejadian kes bunuh calon Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shah Alam, M Thiyahu, 30, di pangsapuri di Seksyen 7. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria

Dalam kejadian kira-kira 5 petang semalam, mangsa maut akibat ditetak tiga lelaki bersenjatakan parang.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, pihaknya menerima panggilan pada 5.16 petang daripada seorang lelaki yang memaklumkan kejadian berkenaan.

Beliau berkata, menurut lelaki itu mangsa ditetak dengan parang oleh tiga lelaki yang menaiki kereta Proton Waja berwarna perak.

Berita berkaitan

Bekas calon AMK Shah Alam maut ditetak

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 January 2019 @ 1:09 PM