ANDIKA (kanan) dipenjara lapan bulan. FOTO Aziah Azmee.
Sarah Zulkifli dan Iskandar Shah Mohamed


PENIAGA warga Indonesia dipenjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini, atas tuduhan memiliki 3,480 batang rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM323.04, minggu lalu.

Majistret Mohd Nor Hafidzuddin Yusoff menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Andika Razali, 29, sebaik lelaki itu mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Tertuduh yang berasal dari Acheh diperintahkan untuk menjalani hukuman penjara berkenaan bermula tarikh tangkapan, iaitu 2 Januari lalu.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memiliki barangan larangan import, iaitu 192 paket rokok dari 11 jenama berbeza di bahu jalan, Jalan TK 4/1, Puchong, di sini, jam 7.10 malam, 2 Januari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan dihukum di bawah Seksyen 135(1)(v)(aa) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 ganda nilai atau RM100,000 (yang mana lebih tinggi) sehingga tidak lebih daripada 20 ganda nilai suapan atau RM500,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, pasukan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) membuat serbuan terhadap seorang lelaki warga Indonesia di bahu jalan Jalan TK 4/1, Puchong.

Ketika itu, lelaki berkenaan didapati membuka meja dan menjual pelbagai jenis rokok sebelum ditahan bagi pemeriksaan lanjut.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa JKDM Khairunnisa Ibrahim memohon hukuman setimpal untuk memberi pengajaran kepada tertuduh supaya tidak mengulangi kesalahan sama.


GEAS (kanan) mengaku tidak bersalah miliki 1,160 rokok seludup. FOTO Aziah Azmee.

Dalam prosiding sama, Gaes Uddin Khan, 45, warga Bangladesh, mengaku tidak bersalah atas tuduhan memiliki 1,160 batang rokok seludup pelbagai jenama yang bernilai RM99.20.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan kesalahan itu di Quality Magazine Store di nombor 27, Jalan Bukit 11/2, di sini, 4.10 petang pada hari sama.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan dihukum di bawah Seksyen 135(1)(v)(aa) akta sama.

Terdahulu, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM5,000 dengan dua penjamin.

Datuk Suraj Singh yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya bersedia untuk menerima syarat tambahan untuk menyerahkan pasport dan visa kerja yang sudah disahkan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,500 dengan dua penjamin serta syarat tambahan pasport diserahkan ke mahkamah sehingga kes selesai.

Selain itu, mahkamah mengarahkan tertuduh melaporkan diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya serta 13 Februari ini sebagai sebutan semula kes.

Bermula tahun ini, sindiket dan penjual rokok serta arak seludup akan dikenakan hukuman denda lebih tinggi selepas pindaan Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976.


NG (kiri) mohon dibicara. FOTO Roslin Mat Tahir.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret Klang, seorang peniaga rokok mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki barang larangan import di gerai jualannya, minggu lalu.

Tertuduh, Ng Seng Heng, 55, memohon dibicarakan atas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Solehah Noratikah Ismail.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki barang larangan itu iaitu lebih 700 paket rokok berisi kira-kira 12,000 batang rokok pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM4,114.

Semua itu adalah barangan yang dilarang pengimportannya mengikut Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah gerai tidak bernama di Jalan Cungah, Pelabuhan Klang, kira-kira 2.30 petang, 2 Januari lalu.

Justeru, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda nilai atau RM100,000, atau penjara tidak kurang enam bulan atau tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mengikut akta sama, pesalah juga boleh dikenakan denda tidak lebih 20 kali ganda atau RM500,000 (yang mana lebih tinggi).

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Nurafifah Abd Hamid, manakala Seng Heng tidak diwakili peguam.

Solehah membenarkan kos ikat jamin tertuduh berjumlah RM16,000 dengan seorang penjamin selain melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan.

Selain itu, pasport tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai manakala sebutan semula kes ditetapkan pada 15 Februari depan.

Difahamkan, perbuatan tertuduh diketahui selepas sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa JKDM menjalankan pemeriksaan di gerai kecil berkenaan, susulan maklumat awam.

Ia kemudian membawa kepada penemuan rokok seludup yang disembunyikan di bawah gerai itu dan dirampas untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 January 2019 @ 3:25 PM