Zatul Iffah Zolkiply


PEMBANTU kedai diarah menjalani hukuman dua bulan di Pusat Pemulihan Wanita di Sabak Bernam, Selangor, selepas mengaku salah di Mahkamah Rendah Syariah di Kuala Terengganu, atas pertuduhan berkhalwat.

Keputusan itu dibuat Hakim Syarie Mohd Fakhruddin Yusof selepas wanita berusia 22 tahun dari Dungun, mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 31(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana berkhalwat.

Pasangannya berusia 33 tahun dari Setiu pula dikenakan denda RM2,600 atau satu bulan penjara sekiranya dia gagal menjelaskan denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama pasangannya didakwa berkhalwat di bilik hotel di Jalan Sultan Mahmud, di Kuala Terengganu, 11.20 malam pada 8 Mac 2018.

Terdahulu, ibu tertuduh dalam rayuannya memaklumkan dia sudah berusaha mengawal dan mendidik, tetapi anak gadisnya akan lari dari rumah bersama rakan-rakannya.

“Saya cukup tertekan dengan perkembangan masa depan dia kerana terlalu mudah terpengaruh dengan kawan-kawannya.

“Dia tidak mahu meneruskan persekolahan selepas ayahnya meninggal dunia, malah saya lihat dia terlalu mudah terpengaruh dengan pujuk rayu lelaki jahat yang hanya mahukan keseronokan dan mengikut hawa nafsu semata-mata.

“Saya sudah tidak mampu lagi mendidik dan mengawal dia,” kata ibu kepada tujuh anak itu.

Pendakwaan dijalankan Pendakwa Syarie, Khanurulhajja Mustafar.

Sementara itu, Mohd Fakhruddin dalam penghakimannya berkata, mahkamah mengambil keputusan menjatuhkan hukuman itu sebagai satu pengawalan dan pemulihan kerana tertuduh akan dipantau termasuk solat secara berjemaah ketika berada di pusat berkenaan.

“Selain itu, ia turut memberi penekanan mengenai pendidikan fardu ain, aurat wanita, sempadan halal haram, kemahiran kepakaran untuk kerjaya dan yang paling penting dia hendaklah bersungguh untuk ditarbiyah menjadi seorang Muslimah yang baik, terpelihara dan bermaruah tinggi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 January 2019 @ 3:40 PM