GAMBAR lebah yang dikongsi Tony Fernandes menerusi Twitternya.
Noor Atiqah Sulaiman


KEHADIRAN sekumpulan lebah di luar cermin Q4 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) adalah perkara biasa malah, serangga itu akan beredar sekiranya hujan atau angin kencang.

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menerusi kenyataan hari ini berkata, pihaknya mendapati lebah berkenaan kebiasaannya akan muncul di kawasan itu sekitar jam 10 hingga 11 pagi.

“Kami menyedari kehadiran sekumpulan lebah itu di Q4 klia dan sahkan bahawa ia bukan sarang lebah.

“Kami sentiasa memantau perkara ini. Jika sehingga petang ini, lebah berkenaan tidak beredar, kami akan mendapatkan khidmat kawalan serangga perosak bagi menghalau lebah berkenaan termasuk menghalang ia membuat sarang.

“Kami akan menghalau lebah berkenaan sekitar jam 8 malam ini sekiranya serangga berkenaan masih berada di situ. Kawalan itu akan dilakukan pada waktu malam atas faktor keselamatan kerana sangat bahaya menghalau kumpulan lebah itu pada waktu siang,” katanya.

Katanya, setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang aduan serangan lebah termasuk kemudaratan kepada sesiapa saja akibat migrasi serangga itu di lapangan terbang ini.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Air Asia, Tan Sri Tony Fernandes berang dengan pengurusan klia2 berikutan penemuan sarang lebah di tingkap di salah sebuah bangunan di lapangan terbang itu.

Fernandes menerusi laman Twitternya turut berkongsi gambar lebah yang didakwa dirakamkan di klia2.

“Sekarang kita ada lebah di klia2. Kita ada ulat, tikus dan sekarang lebah. Mungkin (boleh bina) zoo atau (jual) madu klia2. Boleh jana pendapatan baru bagi mengurangkan cukai lapangan terbang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 January 2019 @ 5:24 PM