BARANG yang dirampas daripada dua suspek yang memecah masuk rumah. FOTO Ihsan PDRM
Hadzlihady Hassan


MASUK melalui tingkap tandas dan keluar ikut pintu utama. Itu taktik dilakukan dua lelaki yang memecah masuk sebuah rumah dan melarikan pelbagai barang berharga di Taman Aston Indah, Bukit Mertajam, Pulau Pinang semalam.

Bagaimanapun, perbuatan mereka itu tidak bertahan lama apabila polis berjaya menahan dua suspek terbabit hanya selepas tiga jam mangsa membuat laporan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, dua suspek berkenaan pada mulanya memecah masuk sebuah rumah teres tiga tingkat di Taman Aston Indah jam 4.30 pagi.

“Mereka masuk melalui tingkap tandas di tingkat dua rumah terbabit dan melarikan pelbagai barang berharga bernilai RM10, 000.

“Ketika kejadian, mangsa iaitu seorang wanita berusia 48 tahun, suami dan lima anaknya sedang tidur di bilik masing-masing.” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, susulan itu mangsa membuat laporan polis jam 6.30 pagi dan hasil siasatan lanjut, polis menemui tujuh kesan cap jari di cermin meja solek dan juga kotak minuman.

“Polis kemudian berjaya menahan dua suspek terbabit di sebuah rumah di Taman Kucai, Kulim, Kedah jam 9.30 pagi.

“Kedua-dua suspek yang berusia 50 serta 30 tahun dan tidak mempunyai pekerjaan itu didapati mempunyai rekod lampau bersabit kes dadah dan jenayah.

Menurutnya, polis juga turut merampas pelbagai barang berharga yang dicuri suspek di rumah mangsa dan penahanan mereka itu dilakukan dalam tempoh hanya tiga jam.

“Kedua-dua suspek akan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 January 2019 @ 5:32 PM