RAISA Rinda (dari kiri), Dessy Meyrisinta, Ng dan Tham. FOTO Ihsan Polis
Ruwaida Md Zain


POLIS Selangor sedang mengesan dua saksi warga Indonesia dan dua saksi warga Malaysia bagi membantu perbicaraan kes bunuh Kim Chol atau Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong-nam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, empat saksi terbabit adalah Raisa Rinda Salma, 24 dan Dessy Meyrisinta, 33, manakala saksi warga Malaysia, Tham Yook Kun, 50 dan Ng Wah Hoong, 38.

“Pihak pendakwaan yang menjalankan perbicaraan memerlukan dua saksi warga Indonesia dan dua saksi warga Malaysia bagi tujuan perbicaraan.

“Keempat-empat saksi ini gagal dikesan sehingga kini, bagaimanapun semakan pergerakan Jabatan Imigresen mendapati mereka masih di Malaysia.

“Turut disertakan gambar dan butiran saksi-saksi untuk hebahan media bagi mengesan atau sebagai pemberitahuan kepada saksi-saksi ini tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang.

“Atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat kes, Asisten Suprintendan Wan Azirul Nizam Che Wan di talian 019-4811844 untuk persiapan perbicaraan yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan di Shah Alam, hari ini.

Fadzil berkata, tarikh perbicaraan bagi 2019 di Mahkamah Tinggi Shah Alam sudah ditetapkan.

“Tarikh perbicaraan pada 28 hingga 31 Januari; 18 hingga 19 Februari 2019; 11 hingga 14 Februari 2019; 18 hingga 21 Mac 2019 dan 1 hingga 4 April 2019,” katanya.

Mahkamah Tinggi Shah Alam sebelum ini memerintahkan wanita warga Indonesia Siti Aisyah dan wanita warga Vietnam Doan Thi Huong membela diri daripada pertuduhan membunuh Kim Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un.

Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Datuk Azmi Ariffin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie di akhir kes pendakwaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 January 2019 @ 7:24 PM