Muhammad Apendy Issahak


LELAKI warga emas maut selepas kediamannya di Jalan Tingkat Zarib 5B, Taman Pinji Mewah, Ipoh, terbakar, awal pagi hari ini.

Dalam kejadian 3.40 pagi itu, mayat mangsa Oi Hock Chuan, 63, ditemui di bahagian ruang tamu rumah teres dua tingkat didiaminya itu.

Peniaga barangan lusuh di Pasar Karat Ipoh itu dikatakan tinggal bersendirian di rumah terbabit sejak lebih 20 tahun lalu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh, Nashuha Fahd Ahmad Mijar berkata, pihaknya menerima maklumat jam 4.15 pagi daripada jiran mangsa dan tiba ke lokasi enam minit kemudian.

Menurutnya, dua jentera membabitkan 13 anggota BBP Pasir Puteh tiba di lokasi dan pihaknya mendapati kebakaran sudah membabitkan kira-kira 80 peratus rumah berkenaan.


ANGGOTA bomba memadam kebakaran rumah di Taman Pinji Mewah, Pasir Puteh, Ipoh, hari ini. FOTO Ihsan JBPM

“Pemeriksaan mendapati rumah berkenaan dipenuhi dengan pelbagai barangan lusuh di bahagian tingkat bawah.

“Kami difahamkan mangsa sedar ketika kebakaran berlaku dan sudah keluar dari rumah, namun masuk kembali dipercayai untuk menyelamatkan barangnya.

“Anggota bomba menemui mayat mangsa di ruang tamu dengan kesan terbakar tahap dua,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Katanya, pihak bomba menghadapi kesukaran memadamkan kebakaran susulan tekanan air rendah di kawasan terbabit selain berdepan timbunan barangan lusuh mudah terbakar yang memenuhi tingkat bawah rumah.

“Operasi pemadaman api turut dibantu enam anggota BBP Simpang Pulai dan operasi tamat jam 7.39 pagi.

“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 January 2019 @ 9:44 AM