SUSPEK (kiri) dibawa ke Mahkamah Majistret Sibu untuk permohonan reman, hari ini. Foto HARUN YAHYA
Harun Yahya
cnews@nstp.com.my


SEORANG pengasuh wanita ditahan selepas disyaki mendera dua bayi lelaki di bawah jagaannya, masing-masing berusia 17 bulan dan sembilan bulan di sebuah rumah di Jalan Permai, Sibu, semalam.

Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, penahanan suspek berusia 39 tahun itu susulan laporan polis dibuat ibu bapa bayi berkenaan yang curiga dengan kesan kecederaan dialami anaknya.

“Kita menerima laporan daripada bapa bayi berusia sembilan bulan yang merasa pelik apabila anak lelakinya berada dalam keadaan tidak bermaya sejurus diambil dari rumah suspek.

“Bertindak atas laporan itu, suspek yang memiliki lesen sah pusat jagaan kanak-kanak ditangkap dan telefon bimbitnya dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Difahamkan, suspek menjalankan kegiatan asuhan kanak-kanak di rumah berkenaan, dengan keseluruhannya lima kanak-kanak berusia sembilan hingga tiga tahun diletakkan di bawah jagaannya.

Menurut Stanley, pasangan suami isteri, masing-masing bekerja sebagai guru, menghantar anak ke rumah pengasuh pada 5.30 pagi kelmarin sebelum menerima panggilan telefon daripada suspek memberitahu anak mereka mengalami sesak nafas sekitar tengah hari.

Katanya, pasangan itu kemudian bergegas membawa bayi berkenaan ke Unit Kecemasan Hospital Sibu untuk menjalani pemeriksaan dan rawatan lanjut.

“Doktor dalam laporannya mengesahkan mangsa mengalami pendarahan dan kembang pada bahagian dalam otak serta kedua-dua mata serta keretakan tulang di bahagian kiri kepala.

“Ia berkemungkinan disebabkan oleh hentakan objek keras pada kepala, atau badan mangsa digoncang dengan kuat.

“Keadaan mangsa yang juga anak bongsu daripada tiga beradik dilaporkan kritikal dan masih tidak sedarkan diri serta bergantung dengan bantuan mesin oksigen,” katanya.

Katanya, kes kedua membabitkan pengasuh sama dilaporkan pada 6.39 petang semalam selepas ibu mangsa mendapati terdapat kesan darah pada bibir anaknya sebelum membawanya ke hospital utk rawatan lanjut.

Difahamkan, ibu mangsa mengambil anaknya itu selepas menerima panggilan telefon daripada suspek.

“Kanak-kanak berkenaan patah sebatang gigi depan di bahagian atas dan terdapat lebam pada bibir mangsa.

“Suspek akan direman di Mahkamah Majistret Sibu pagi ini untuk siasatan lanjut dan akan menjalani saringan ujian air kencing,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 200.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 January 2019 @ 9:58 AM