ZAMREE Hamli
T N Alagesh

cnews@nstp.com.mynews@nstp.com.my

Kuantan: Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands pada 26 Januari ini dijangka menyaksikan pertembungan sekurang-kurangnya lima penjuru.

Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Pahang Datuk Zamree Hamli berkata, sehingga kelmarin lima set borang pencalonan diambil wakil calon daripada parti politik yang dijangka bertanding pada PRK berkenaan.

“Kami mendapat maklumat, ada calon BEBAS juga menawarkan diri pada PRK kali ini. Lima set borang pencalonan yang diambil (dibeli) semalam (kelmarin) itu oleh wakil calon daripada parti politik, belum lagi wakil BEBAS... kalau tengok kepada kemungkinan dan perkembangan (politik) semasa, mungkin kita bakal menyaksikan (pertandingan) lima penjuru atau lebih.

“SPR Pahang juga tidak menolak kemungkinan ada lagi (wakil calon) yang tampil pada saat-saat akhir (untuk membeli borang pencalonan)... mereka yang berminat menawarkan diri (sebagai calon) boleh ke pejabat kami mendapatkan borang,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Sementara itu, mengulas mengenai tahap persiapan SPR Pahang menghadapi PRK berkenaan, Zamree berkata, 811 kakitangan akan ditugaskan sepanjang tempoh PRK berlangsung.

“Bermula pada hari penamaan calon hujung minggu ini, sehinggalah hari mengundi dan pengumuman keputusan.

“Jumlah pusat mengundi ialah 29 dan empat daripadanya akan ditutup pada jam 2 petang kerana faktor jarak yang jauh di kawasan pedalaman dan memerlukan perkhidmatan pengangkutan udara untuk membawa kertas undi ke pusat penjumlahan undi di bandar Cameron High-
lands.

“Berdasarkan rekod daftar pemilih yang kita ada, 32,008 pengundi berdaftar layak mengundi pada 26 Januari ini dan jumlah undi pos pula seramai 247 pengundi terdiri daripada pegawai dan anggota pasukan keselamatan. Mereka (pengundi pos) akan mengundi pada 22 Januari,” katanya.

Kerusi Parlimen itu dimenangi Barisan Nasional (BN) menerusi calonnya, Datuk C Sivarrajh pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), namun diisytiharkan kosong oleh Mahkamah Pilihan Raya pada 30 November tahun lalu.

Manogaran, 59, memfailkan petisyen pilihan raya pada 4 Jun tahun lalu, memohon pengisytiha-
ran keputusan PRU14 untuk kerusi Parlimen berkenaan terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 January 2019 @ 10:32 AM