MAYAT bayi ditemui berhampiran Masjid Kampung Muara Mongkos, Serian, semalam. FOTO Ihsan PDRM
Mohd Roji Kawi


MAYAT bayi perempuan yang dipercayai baru dilahirkan ditemui berhampiran Masjid Muara Mongkos, Serian, semalam.

Bayi yang masih bertali pusat dan berbalut sehelai kain putih itu ditemui di atas rumput oleh orang awam yang melalui kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Serian Deputi Superintendan Aswandy Anis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan mayat bayi berkenaan pada 8 pagi.

Beliau berkata, sepasukan anggota polis diketuai Inspektor Frankie Billy Tadius dihantar ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat.

“Pemeriksaan awal pada mayat itu mendapati kesan gigitan haiwan pada bahagian tangan dan pinggangnya.

“Siasatan lanjut turut dijalankan pasukan forensik yang dipanggil ke lokasi dan bedah siasat akan dijalankan untuk mengenal pasti punca kematian bayi itu,” katanya.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kematian dengan membuang mayat secara sulit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 January 2019 @ 10:38 AM