TERTUDUH, Chua Soo Ting dan suaminya Ong Teck Huat diperintahkan menjalani program pemulihan penagih dan melapor diri ke AADK daerah ini dua kali sebulan selain diletakkan dibawah pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun selepas dihadapkan di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu. FOTO Malai Rosmah Tuah
Fardy Bungga


AMBIL syabu untuk kuruskan badan, itu alasan ibu anak empat dalam pengakuannya yang dibacakan pegawai pemulihan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, hari ini.

Tertuduh turut mengaku membelanjakan sehingga RM600 untuk mengambil dadah setiap bulan sejak kira-kira tiga tahun lalu.

Bagaimanapun, alasan itu gagal ‘memperdayakan’ Majistret Afiq Agoes yang kemudiannya mengarahkan tertuduh, Chua Soo Ting, 42, supaya diletakkan di bawah pengawasan AADK selama dua tahun.

Selain itu, tertuduh turut diperintahkan menjalani program pemulihan penagih dan melapor diri ke AADK daerah ini dua kali sebulan selama tempoh itu.

Selain Soo Ting, suami tertuduh, Ong Teck Huat, 43, yang dibicarakan di mahkamah sama turut diarahkan menjalani hukuman sama.

Menurut keterangan kes, Soo Ting ditahan AADK bersama suaminya selepas kedua-duanya didapati positif dadah dalam serbuan di rumah mereka di Inanam, pada 4 Disember lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6(1)(b) Akta penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 pindaan 1998.

Sekiranya kedua-dua tertuduh gagal mematuhi syarat yang dikenakan, mereka boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 6 (3) akta yang sama iaitu hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau sebatan tidak melebihi tiga kali atau kedua-duanya sekali.

AADK diwakili Pegawai Pemulihan Anizah Abdul Said dan Helmy Claire, manakala kedua-dua tertuduh diwakili Peguam Alex Lee.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 January 2019 @ 1:43 PM