lapan kenderaan terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang 2 (DUKE 2) menghala ke Sungai Buloh, dekat Kepong
lapan kenderaan terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang 2 (DUKE 2) menghala ke Sungai Buloh, dekat Kepong
Hasbi Sidek

TUJUH kenderaan mengalami kerosakan selepas lori hilang kawalan di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang 2 (DUKE 2) menghala ke Sungai Buloh, dekat Kepong, hari ini.

Bagaimanapun, kejadian 9.30 pagi itu tidak membabitkan kecederaan kepada semua pemandu dan penumpang semua kenderaan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, lori yang dipandu lelaki berusia 44 tahun hilang kawalan sebelum merempuh kenderaan di hadapannya.

"Kemalangan membabitkan lapan kenderaan iaitu sebuah lori, dua Perodua Myvi, sebuah Honda Jazz, sebuah Mercedes Benz, sebuah Perodua Alza, manakala dua lagi kenderaan tidak dapat dikenal pasti kerana belum membuat laporan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, rempuhan lori menyebabkan ada kenderaan yang bergerak ke hadapan seterusnya melanggar kenderaan lain di hadapanya.

"Semua pemandu dan penumpang kenderaan yang terbabit dalam kejadian ini tidak mengalami kecederaan atau maut dan enam daripadanya sudah membuat laporan polis.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 January 2019 @ 5:24 PM