PENIAGA warga asing terus berniaga di gerai haram di kawasan luar Pasar Borong Selayang, Kuala Lumpur, walaupun lokasi berkenaan kerap diserbu pihak berkuasa. FOTO Mohd Azam Shah Yaacob.
Mohd Azam Shah Yaacob


BIARPUN beberapa kali diserbu pihak berkuasa, peniaga warga asing dari Myanmar, Kemboja dan Bangladesh di Pasar Selayang, Kuala Lumpur, bagaikan tidak terkesan dan masih terus berdegil menjalankan perniagaan secara haram.

Tinjauan di pasar borong berkenaan mendapati kawasan luar pasar itu masih tetap dipenuhi warga asing yang menjalankan perniagaan.

Dianggarkan terdapat lebih 300 gerai dibuka warga asing berkenaan yang bukan saja menjalankan perniagaan menjual sayur-sayuran serta buah-buahan, sebaliknya turut menjual pakaian, barang mainan, perkakas dapur, makanan siap masak selain barangan mentah.

Wartawan difahamkan kebanyakan warga asing itu berniaga tanpa lesen sah dan berani berbuat demikian susulan kehadiran mereka yang ramai.

Mereka akan lari bersembunyi meninggalkan gerai apabila mengesan kehadiran pihak berkuasa yang membuat operasi dan akan menyambung semula perniagaan selepas tamat operasi.

Penduduk tempatan yang ditemui di pasar berkenaan, Abdul Siddik berkata, memang sejak dahulu lagi kawasan di pasar itu dimonopoli warga asing khususnya berniaga di tepi jalan sepanjang pasar itu.

Beliau yang mengusahakan kedai makan dan kerap membeli barangan mentah di pasar itu mengakui kawasan itu memang tidak pernah sunyi daripada kehadiran warga asing.

“Saya tidak pasti mengenai penguatkuasaan dijalankan pihak berkuasa kerana sepanjang membeli barangan mentah di sini, pagi atau petang dan boleh dikatakan sepanjang waktu ia tetap dipenuhi warga asing.

“Pada awal dahulu saya pernah membeli barangan mentah daripada mereka kerana harganya murah, namun selepas terbaca bahawa mereka ini mengitar semula barangan berkenaan dibuang peniaga tempatan, terus saya berhenti membeli daripada mereka,” katanya ketika ditemui.

Abdul Siddik berkata, dia tidak kisah dengan kehadiran warga asing yang berniaga di situ, cuma risau mengenai aspek kebersihan serta kualiti barangan dijual.

“Kebanyakan mereka memang menjual barangan dengan harga cukup murah, cuma masalahnya adalah daripada aspek kesihatan sebab jika datang di kawasan ini, pemandangannya saja sudah cukup menjijikkan.

“Jadi, dengan keadaan persekitaran agak kotor, saya tidak pasti adakah barangan dijual mereka selamat untuk dimakan,” katanya.

Sementara itu, suri rumah, Azean Ibrahim, berkata keadaan persekitaran kawasan itu yang dipenuhi warga asing membuatkan dia takut untuk membeli di situ.

“Kawasan pasar ini adalah tempat saya membeli barangan dapur, namun masalahnya adalah untuk masuk, kami perlu menempuh deretan kedai warga asing yang memandang kami dengan pandangan semacam saja.

“Sebagai wanita, keadaan itu memang menakutkan menyebabkan kami khuatir diganggu,’ katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 January 2019 @ 7:33 PM