Keadaan motosikal Allahyarham Muhammad Harith (gambar kecil) selepas terbabas sebelum melanggar pokok di Jalan Asahan-Jementah dekat Jasin. FOTO Ihsan PDRM
Nur Saliawati Salberi

PENUNTUT Universiti Teknologi MARA (UiTM) Segamat maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas sebelum melanggar pokok di Jalan Asahan-Jementah, di Jasin, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.15 pagi itu, mayat Muhammad Harith Ishak, 20, yang dipercayai sudah meninggal dunia lebih 24 jam ditemui seorang pekebun getah.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian motosikal jenis Yamaha FZ150 ditunggang mangsa dipercayai terbabas sejurus melalui selekoh berdekatan kebun getah lalu merempuh pokok.

Beliau berkata, sebelum kejadian mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di FELDA Tun Ghaffar Air Kangkong dari UiTM melalui Jalan Asahan-Jementah.

“Mangsa dikatakan kali terakhir menghubungi bapanya kira-kira jam 11 malam pada Isnin lalu, sebelum mayatnya ditemui pagi tadi.

“Mayat ditemui berhampiran motosikal, selain semua barangan peribadi termasuk dompet dan telefon bimbit turut ada bersama mangsa,” katanya ketika dihubungi NSTP.

Arshad berkata, hasil pemeriksaan oleh pegawai perubatan mendapati mangsa sudah meninggal dunia lebih 24 jam akibat cedera parah di kepala dan anggota badan.

“Mayat kemudian di hantar ke Jabatan Forensik Hospital Jasin bagi proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 January 2019 @ 9:02 PM