Noor Atiqah Sulaiman


“SAYA tidak menganggap kejadian menimpa saya ini satu bala atau bencana, sebaliknya Allah hanya menguji keimanan saya,” kata Abd Wahab Yahaya, 56.

Beliau ialah rakyat Malaysia yang terkandas di Krabi, Thailand selepas terbabit dalam kemalangan sehingga menyebabkan seorang pejalan kaki warga Thailand maut pada 19 Disember lalu.

Abd Wahab yang ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), Sepang, berkata, selepas kejadian berkenaan beliau dapat melihat dengan jelas hikmah berlaku kepada dirinya.

“Sebelum ini saya hanya simpati dan menghulurkan bantuan kepada fakir miskin yang tidak ada wang untuk makan. Tetapi saya tidak rasa apa mereka alami.

“Namun kini saya mempunyai wang, ada selera untuk makan tetapi tidak boleh makan kerana tulang rahang dan tulang pipi patah yang secara tidak langsung menghalang saya untuk makan secara normal,” katanya yang tiba dari Krabi pada 8.26 malam tadi.

Abd Wahab berkata, beliau dan keluarga berhasrat untuk mengambil bayi milik mangsa kemalangan berkenaan yang bakal dilahirkan kelak sebagai anak angkat.

“Bayi yang akan dilahirkan itu akan menjadi anak yatim, jadi atas rasa tanggungjawab saya akan ambil dia sebagai anak angkat.

“Insya-Allah, antara April atau penghujung Mei saya akan melawat keluarga mangsa serta rakyat Thailand yang banyak membantu saya ketika kejadian ini berlaku.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kerana sudah menjaga saya seperti keluarga sendiri. Sepanjang 22 hari di sana, saya tidak rasa terasing. Segala tempat tinggal dan makanan ditanggung oleh mereka,” katanya.


ABD Wahab (kanan) tidak dapat menahan sebak ketika disambut ahli keluarga sebaik tiba di klia2, Sepang, malam ini. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor.

Sebelum ini, NSTP melaporkan Abd Wahab terkandas di Krabi, Thailand selepas motosikal ditunggangnya bersama isteri, Junaidah Mohd Said, 46 terbabit dalam kemalangan ketika bercuti di pusat peranginan berkenaan hingga menyebabkan seorang pejalan kaki warga Thailand maut.

Akibat kemalangan itu, beliau cedera di bahagian mulut dan perlu menjalani pembedahan untuk membuka jahitan dan skru di tulang pipinya, manakala isterinya mengalami gegaran kecil di kepala.

Difahamkan, mengikut undang-undang di negara berkenaan, pesalah warga asing perlu membayar ikat jamin selain perlu ada jaminan orang tempatan dengan mencagarkan geran tanah atau rumah bagi memastikan individu yang ditahan tidak keluar dari negara itu.

Malah, keluarga mangsa menuntut pampasan berjumlah RM200,000 sebagai ganti rugi atas kemalangan itu.

Buat masa ini, mahkamah membenarkan Abd Wahab pulang ke Malaysia bagi mendapatkan rawatan susulan dialami semasa kemalangan terbabit dan perlu kembali ke Krabi setiap 12 hari untuk melaporkan diri kepada mahkamah di sana.

Berita berkaitan

'[UPDATE] Abd Wahab boleh pulang sementara...'

'Warga Thailand berhati mulia'

'Jumlah kutipan cecah RM60,000'

'Bapa masih di hospital, tunggu perbicaraan'

''Tolong kami cari RM200,000...'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 January 2019 @ 11:13 PM