MOHAMAD (tengah) bersama Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa (tiga kanan) dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO pada sidang media selepas Mesyuarat Kerja Tertinggi di Menara Dato Onn, PWTC, malam tadi. FOTO Zunnur Al Shafiq.
Luqman Arif Abdul Karim


UMNO memberi bayangan calon untuk mempertahankan kerusi Cameron Highlands sudah mempunyai ‘restu’ parti komponen Barisan Nasional (BN).

Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu, malam tadi, membincangkan beberapa agenda.

“Antaranya ialah persiapan UMNO untuk tolong BN di Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, malah kita sudah berbincang bagi menentukan siapa yang akan menjadi wakil (calon) nanti.

“Cameron Highlands amat penting kerana ia akan menjadi penanda aras mengenai sejauh mana keberkesanan BN dan sama ada kita masih mendapat tempat di hati rakyat ketika ini.

“Ia kerusi perlu kita pertahankan. Calon mewakili BN pada PRK ini perlu mempunyai kebolehan untuk menguatkan parti dan beri kemenangan.

“Situasi kini berbeza, kalau dulu, kita letak apa saja calon akan menang kerana parti, namun kini parti hanya mempunyai kelebihan bersandarkan kekuatan calon,” katanya kepada pemberita selepas julung kali mempengerusikan mesyuarat MKT, di Menara Dato’ Onn di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), malam tadi.

Naib Presiden MIC, Datuk T Mohan sebelum ini dilaporkan berkata parti komponen BN itu membuat keputusan untuk tidak meletakkan calon pada PRK Cameron Highlands yang bakal berlangsung pada 26 Januari ini.

Meskipun ia kerusi tradisi, MIC membuat percaturan sedemikian menerusi Jawatankuasa Kerja Pusat yang menyaksikan 50 ahlinya mengundi supaya parti itu tidak meletakkan calon pada PRK Cameron Highlands.

Spekulasi turut bertiup kencang bahawa BN mungkin mempertaruhkan tugas menawan kerusi Cameron Highlands terhadap bekas penolong pesuruhjaya polis, Asisten Komisioner Ramli Mohd Nor yang dijadikan calon ‘payung terjun’ susulan latar belakangnya sebagai masyarakat Orang Asli daripada suku Semai.

Mohamad berkata, identiti calon mewakili BN pada PRK Cameron Highlands itu akan didedahkan menerusi satu majlis diadakan di ibu negara pada 11 pagi hari ini.

“Sebab itu saya katakan tadi, kita perlu dapatkan mandat UMNO kerana MCA dan MIC sudah bersetuju.

“UMNO perlu bawa ke mesyuarat tertinggi untuk dapatkan persetujuan mengenai calon ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 January 2019 @ 12:51 AM